PRN Johor: Kempen, calon faktor tarik orang muda keluar mengundi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Kempen, calon faktor tarik orang muda keluar mengundi

Ahmad Farhan Rosli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaedah berkempen, calon dan manifesto akan menjadi daya penarik kepada pengundi muda untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Johor 12 Mac ini.

Parti yang bertanding juga perlu bijak memanfaatkan peluang untuk berkempen di media sosial kerana pengundi muda lebih cenderung mendapatkan segala maklumat di saluran tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, PRN Johor akan menjadi penanda aras penglibatan pengundi muda dalam politik tanah air.

Menurutnya, untuk mendekati golongan muda, semestinya perlu ada pendekatan baharu oleh parti-parti politik termasuk mengajak golongan itu keluar mengundi selain soal pemilihan calon sendiri.

“Saya percaya golongan muda tidak sabar untuk terlibat dalam demokrasi memilih pemimpin di negara ini. Mereka telah turun berjuang untuk undi 18 dan semestinya yang terlibat akan mengundi di PRN Johor.

“Kita di PKPIM juga menganjurkan inisiatif sendiri untuk memastikan golongan muda dapat mengundi di PRN Johor dengan menganjurkan kempen #JohorNgundi dengan membantu anak Johor dapat pulang pada hari mengundi nanti.

“Saya juga berharap, pihak Kementerian Pengajian Tinggi dapat memberikan cuti kepada pelajar selain menyediakan kemudahan seperti bas untuk memastikan mereka yang layak dapat pulang pada hari mengundi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sikap tidak peduli dalam kalangan pengundi baharu yang layak memilih pada PRN Johor merupakan cabaran besar buat BN.

Sementara itu, Pengasas #Undi18, Qyira Yusri berkata, golongan muda perlu keluar untuk mengundi pada 12 Mac nanti untuk memilih sendiri pemimpin tanpa bergantung kepada pilihan orang lain lagi.

“Parti politik juga kena hebatkan kempen untuk mengajak mereka keluar mengundi.

“Undi mereka sangat penting, jika berada di luar kawasan kena cari jalan untuk balik mengundi, pemilihan pemimpin bukan boleh dipandang ringan. Ia penting untuk pastikan isu-isu seperti kebajikan dapat diperjuangkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN