Pendidikan tetap agenda utama Malaysia - Utusan Malaysia

Pendidikan tetap agenda utama Malaysia

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Noraini Ahmad (kanan) ketika menghadiri Karnival KPT Keluarga Malaysia di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa pendidikan akan terus menjadi agenda utama negara yang digaris sejak merdeka meskipun kerajaan bertukar-tukar pentadbiran.

Kata Ismail Sabri, penekanan kepada aspek pendidikan termasuk pendidikan tinggi juga perlu menjadi keutamaan, selari dengan nilai Keluarga Malaysia iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga. 

Beliau berkata, selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

“Pendidikan merupakan agenda yang penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan individu. Sejak dari merdeka kerajaan menjadikan pendidikan sebagai agenda utama. Walaupun kerajaan bertukar-tukar, tetapi pendidikan tetap menjadi agenda utama.

“Dengan pendidikan, tanpa mengira latar belakang, anak penoreh getah pun boleh menjadi seorang perdana menteri dan anak tok penghulu boleh jadi menteri besar, berjaya hasil dasar yang jelas daripada kerajaan untuk tingkatkan taraf pendidikan anak-anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Keluarga Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Tambah Perdana Menteri, pendidikan juga boleh membantu golongan B40, M40 dan masyarakat luar bandar melanjutkan pelajaran melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan seperti Biasiswa MARA yang menanggung sepenuhnya pelajar ke luar negara.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memuji KPT yang melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang memfokuskan usaha membantu pelajar B40 melibatkan ahli keluarga mereka yang belum ada seorang pun pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

“Program ini adalah unik kerana mereka bukan sahaja akan dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama dan diberikan mentor sehinggalah mereka berjaya mendapat pekerjaan. 

“Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik kelak akan membawa anak-anak ini keluar daripada kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian. Kejayaan mereka nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga komuniti setempat,” katanya.

Bagi memperkasakan lagi program Sulung, Ismail Sabri turut mengajak badan-badan korporat untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program itu selaras usaha kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia agar akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, program MYFutureJobs pula menawarkan sebanyak 63,990 jawatan kosong di Johor dan sempena Karnival KPT berkenaan sahaja, terdapat lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan. 

“Justeru, saya menyeru semua yang hadir untuk mengambil peluang ini dan menguar-uarkan kepada saudara-mara yang memerlukan pekerjaan. Kerajaan berharap dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti ini, ia akan membantu mengurangkan lagi kadar pengangguran di

Malaysia kepada paras di bawah 4.2 peratus,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN