KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah memuji lanskap politik yang kini menunjukkan kestabilan selepas perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU).
Menerusi titah Tuanku sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen Penggal Kelima, Al-Sultan Abdullah mahu persefahaman antara kerajaan dan pembangkang itu berterusan.
“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak Kerajaan dengan pembangkang.
“Landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Beta dan masa hadapan negara.
“Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu.
Al-Sultan Abdullah akui peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kematangan politik seperti inilah yang didambakan oleh rakyat Beta.
“Melangkah ke hadapan, Beta menyeru kepada sekalian untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE