Harga import jagung naik antara punca ayam, telur mahal - Utusan Malaysia

Harga import jagung naik antara punca ayam, telur mahal

NIK Muhammad Zawawi Salleh (tengah) diberi penerangan mengenai penanaman padi wangi ketika lawatannya dalam Smart SBB di Jalan Tali Air 3, Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Peningkatan harga import jagung dari Brazil didakwa menjadi antara punca kenaikan harga ayam dan telur di negara ini sehingga memaksa kerajaan meletakkan subsidi bagi mengekang kenaikan berterusan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, isu sebenar yang dihadapi penternak ayam adalah peningkatan harga makanan haiwan berkenaan dalam tempoh pandemik ini.

Jelasnya, kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 juta sebulan bagi melaksanakan subsidi lima sen setiap sebiji telur dan 60 sen bagi setiap kilogram ayam untuk menghentikan kenaikan harga sumber makanan itu.

“Ini bersifat sementara dan saya yakin apabila Covid-19 selesai, harga ayam akan turun, sebab isunya adalah makanan. Jadi, makanan ini bukan kita yang naikkan harga, ia adalah harga antarabangsa daripada Brazil yang kita import jagung, di sana sekarang pun tak cukup,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu turut mendakwa, kenaikan harga ayam turut berlaku di negara-negara lain sepert Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Mesir apabila harga sumber makanan itu menghampiri RM20 sekilogram.

“Jadi, bila jadi rebutan (jagung) dalam dunia, semua negara naik bukan kita sahaja. Di Jordan, harga ayam kira-kira RM18 sekilogram, kenaikan di negara lain lebih parah daripada kita dan kerajaan mereka tidak mampu.

“Di Dubai, harga ayam RM19 sekilogram, di Mesir pun sama, naik walaupun mereka bela ayam sendiri. Macam di Thailand juga, baru-baru ini kita buka import ayam dari Thailand, tetapi akhirnya jadi lebih mahal daripada kita, maka automatik terhenti. Siapa hendak import kalau terpaksa jual harga murah (rugi),” jelasnya.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi menghadiri lawatan ke tapak penanaman padi wangi menerusi Smart Sawah Berskala Besar (SBB) dengan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Felda Global Venture (FGV) serta beberapa syarikat peneraju lain.

Beliau memaklumkan, program Smart SBB yang dilaksanakan sejak tahun 2020 itu mampu meningkatkan pengeluaran padi dalam masa setahun dan dalam masa sama meningkatkan pendapatan petani lebih RM3,000.

“Jadi, lawatan kita pada hari ini iaitu penanaman padi wangi yang ditanam di sini walaupun baharu, tetapi sudah mencatatkan penanaman hampir enam tan metrik bagi satu hektar. Ada tempat seperti di Kedah saya pergi naik sampai 7.9 tan metrik dan sudah ada sudah buat dua hingga tiga kali.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik dan sasarannya dalam tempoh yang tidak lama iaitu 10 tan metrik untuk satu hektar bagi satu musim. Sasaran kita kalau boleh kita hendak kita laksanakan Smart SBB dalam negara kita,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya