Empat penjuru bukan laluan mudah

Empat penjuru bukan laluan mudah

Shamsul Anuar Nasarah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak menganggap pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu laluan mudah, sebaliknya mesti dihadapi dengan serius serta bijaksana.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tidak kira sama ada satu atau dua penjuru, pihak­nya perlu menghadapi pelbagai cabaran mendatang di atas pentas demokrasi pilihan raya.

“Oleh itu, secara peribadi saya percaya untuk mengatakan BN selesa atau tidak bertanding empat penjuru ia bergantung kerusi yang dipertandingkan. Ini kerana keadaannya tidak sama di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kelebihan akan diperoleh oleh calon yang punyai rekod berkhidmat terbaik kepada rak­yat atau bagi calon baharu memiliki ciri-ciri yang rakyat inginkan.

“Jadi saya yakin kepimpinan BN akan bersiap sedia dalam semua situasi dan menganggap PRN Johor kali ini sama ada melibatkan pertandingan empat penjuru, satu atau dua penjuru atau lain-lain sebagai suatu cabaran mesti dihadapi dengan serius dan bijaksana serta tidak menganggapnya sebagai laluan mudah,” katanya.

Sebelum ini, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata pertembungan empat penjuru pada pilihan raya itu bakal memberi kelebihan kepada BN walaupun parti tersebut ketika ini sebenarnya tidak mempunyai kelebihan.

Katanya, BN ketika ini dilihat kuat hanya kerana kelemahan yang sedang berlaku dalam pembangkang yang semakin kritikal menjelang tarikh mengundi.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, pelbagai pihak boleh membuat analisa dan ulasan mengenai PRN Johor namun semua pandangan ini baik untuk dinilai serta dihalusi BN kerana sebagai sebuah parti politik, idea itu penting dalam mengatur pendekatan dan strategi parti.

Jelasnya, terdapat 56 kawasan DUN dipertandingkan PRN Johor dan sudah pasti menjadi rebutan pelbagai parti politik dan sudah tentu landskap dan situasinya berbeza antara satu DUN dengan yang lain.

“Situasi sangat berbeza. Kemenangan di Melaka dan sebelum itu pencapaian BN di Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai, Johor sebelum ini bukan jaminan kepada BN untuk menang selesa di PRN. Oleh itu, semua jentera BN mesti bekerja kuat meyakinkan rakyat untuk menyokong BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN