pencen Perkeso

Balu nelayan terkejut dapat pencen Perkeso suami 

TARMIZI Mukhtar menyampaikan replika cek pencen bulanan kepada Maimon Ismail hasil caruman Allahyarham suaminya yang meninggal akibat Covid-19 di Wisma Perkeso di Kuantan, Pahang. - FOTO/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Balu seorang nelayan yang meninggal dunia akibat Covid-19, Julai tahun lalu, tidak menyangka menerima pencen bulanan Allahyarham suaminya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Nelayan terbabit, Safie Ismail, 58, disahkan meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu ketika bekerja mengumpul hasil tangkapan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat Kemunting, di sini.

Suri rumah, Maimon Ismail, 58, mengakui terkejut apabila dimaklumkan pihak Perkeso tentang pencen bulanan yang bakal diterimanya .

Menurutnya, sukar baginya untuk percaya kerana merasakan arwah suaminya hanya bekerja sebagai nelayan dan pastinya tidak mempunyai sebarang caruman.

“Saya tak tahu Allahyarham ada buat caruman Skim Perlindungan Keselamatan Sendiri sektor perikanan dengan Perkeso dan hanya tahu bila dimaklumkan pihak Perkeso selepas kematiannya. 

“Sedikit sebanyak dengan adanya pencen ini ia dapat membantu menampung  keperluan kami dan paling penting dalam membiayai pelajaran anak bongsu yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan faedah Perkeso dan Program Transformasi Usahawan Belia Pahang di Wisma Perkeso di sini hari ini.

Penyerahan faedah itu disampaikan Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar dan turut hadir,  pengasas Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia Pahang, Nurliana Muhammad.

Tarmizi berkata, hasil semakan mendapati Safie layak menerima faedah kerana mencarum di bawah skim perlindungan pekerjaan beberapa tahun lalu. 

“Berdasarkan laporan, Allahyarham mendapat jangkitan penyakit berjangkit itu ketika bekerja sebagai pengumpul hasil tangkapan di kompleks LKIM.

“Jadi, isterinya layak menerima faedah pengurusan mayat dan faedah pencen secara bulanan kerana suaminya mendapat jangkitan ketika sedang bekerja. Pencen itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan warisnya yang begitu memerlukan pada masa ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN