2.7 juta bakal luput status vaksinasi

2.7 juta bakal luput status vaksinasi

Deretan kenderaan menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Megaklinik Zahran Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 2.7 juta penerima vaksin primer Sinovac belum tampil mendapatkan dos penggalak yang akan menyebabkan status vaksinasi mereka bertukar putih, tidak lengkap serta berdepan beberapa sekatan ter­tentu jika gagal berbuat demi­kian pada 1 Mac ini.

Setakat ini, tidak sampai sejuta atau lebih kurang 800,000 penerima dos primer berkenaan yang mengambil pelalian tambahan tersebut selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan status vaksinasi mereka tidak lengkap bermula awal bulan depan.

Selepas tarikh akhir tersebut, mereka yang gagal berbuat demikian juga berdepan risiko beberapa sekatan lain termasuk tidak akan dapat menikmati kemudahan-kemudahan seper­ti penerima lengkap lain, bergantung kepada ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Timbalan Ketua Pe­ngarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, bagaimanapun pada masa ini sebanyak 72.9 peratus sudah mendapatkan dos penggalak berbanding 3.5 juta yang belum setakat 7 Februari lalu.

“Sebagaimana diumumkan sebelum ini, status vaksinasi mereka berubah kepada tidak lengkap (jika tidak menerima dos penggalak),” katanya.

Baru-baru ini, Khairy berkata, bermula 1 Mac ini, status lengkap vaksinasi semua warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan pe­nerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun berakhir sekiranya belum menerima dos pengalak.

Ini bermakna mereka yang belum menerima suntikan dos penggalak, status kuning (lengkap divaksinasi) bertukar putih sekali gus bakal dikenakan sekatan di pintu masuk.

Sementara itu, ditanya sama ada Kementerian Kesihatan bercadang melaksanakan tindakan sama iaitu dianggap vaksin tidak lengkap jika penerima vaksin primer jenis lain tidak mengambil dos penggalak, Chee Kheong berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikian pada masa ini.

Ini kerana, katanya yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Pantas Covid-19 Kebangsaan, penerima vaksin primer Sinovac memerlukan dos penggalak kerana mereka mempunyai risiko lebih tinggi mendapat jangkitan Covid-19 atau breakthrough infection terutama kes-kes serius.

Menurut beliau, data kajian dalam dan luar negara menunjukkan penurunan tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 bagi penerima dos lengkap vaksin jenis Sinovac adalah lebih cepat berbanding penerima vaksin lengkap jenis lain.

Katanya, data kajian Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) yang dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan tahap perlindungan terhadap jangkitan wabak itu menurun sebanyak 48 peratus dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas mengambil dos lengkap.

“Selain daripada itu, dos penggalak boleh meningkatkan imuniti terhadap jangkitan Omicron kepada 70 peratus berban­ding mereka yang tidak me­nerima dos penggalak.

“Justeru, kumpulan ini perlu mengambil dos penggalak untuk mengelakkan berlaku pe­ningkatan semula kes, terutama kes serius yang memerlukan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×