JERANTUT: Seperti kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna.
Penduduk Kampung Komel, Ulu Tembeling, di sini, Abdul Rani Saidy, 62, mempunyai cara tersendiri memindahkan kerbau ternakannya ke lokasi yang lain bagi tujuan peliharaan di kandang berdekatan dengan kediamannya.
Warga emas itu yang juga seorang penternak menggunakan perahu kajang berenjin untuk memindahkan ternakannya, iaitu tiga ekor kerbau dari dari Kampung Kucing dibawa pulang ke rumahnya, di Kampung Komel, Ulu Tembeling.
“Saya terpaksa menggunakan perahu kajang dipasang enjin 40 kuasa kuda untuk membawa seekor kerbau betina dan dua anak yang sudah lama dipelihara di kandang Kampung Kucing.
“Jarak perjalanan darat yang agak jauh, iaitu enam kilometer dengan kampung ini memaksa saya mengangkut ternakan ini dengan perahu kajang lagipun kerbau ini berada di seberang Sungai Tembeling dan agak sukar menyeberang di kawasan sungai yang dalam dan arus deras walaupun haiwan ini mampu berenang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Abdul Rani, dia cuma dibantu oleh seorang rakan untuk menghalau dan menarik ternakan itu ke atas perahu kajang miliknya yang terletak di tepi Sungai Tembeling.
Katanya, kerja menaikkan tiga ekor kerbau itu mengambil masa hampir satu jam kerana dua ekor anaknya agak liar dan lagipun tugas itu perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak melibatkan kecederaan haiwan ini apaila ditarik dengan tali ke atas perahu kajang.
“Mujurlah si ibu (kerbau betina) jinak dan mudah dinaikkan ke atas ruang duduk perahu ini dan kemudiannya diikuti oleh anaknya yang pada awalnya sukar dinaikkan, tetapi apabila melihat (ibu) sudah berada di atas perahu lalu si anak itu mudah sahaja ditarik,” katanya.
Abdul Rani berkata, kerbau ‘naik’ atau sebagai penumpang perahu kajang atau bot penambang di perkampungan pedalaman Ulu Tembeling merupakan perkara yang sinonim dengan kehidupan penduduk di situ, tetapi agak pelik bagi pandangan orang luar.
“Kerja menaikkan ternakan ini ke atas perahu kajang bukanlah mudah cuma mampu dilakukan oleh orang tertentu sahaja yang mempunyai kemahiran menggunakan tali, teknik menarik termasuk memujuk (menjinakkan) haiwan ini (kerbau) perlu dikuasai bagi memudahkan naik ke atas perahu dan ditambat supaya ia tidak bergerak.
“Kerja menaikkan atau memunggah kerbau liar yang hidup di luar kandang memang agak rumit lagi berbahaya malah mengambil masa berhari-hari untuk dijinakkan sebelum boleh dinaikkan ke atas perahu kajang,” katanya.
Dia berkata, tiga ekor kerbau yang diangkut seberat kira-kira 300 kilogram sudahpun ditambat kaki pada tiang bumbung perahu juga berdepan sedikit cabaran ketika dia mengemudi kenderaan air itu (perahu kajang) meredah arus deras Sungai Tembeling, tetapi selamat sampai ke Kampung Komel kira-kira 30 minit perjalanan.
Jelasnya, bagi masyarakat Ulu Tembeling kerja memindahkan atau mengangkut kerbau yang dibeli dari penduduk kampung lain selalunya ketika menjelang musim perayaan dan majlis perkahwinan, manakala ada juga untuk dimasukkan ke dalam kandang untuk peliharaan sendiri. -UTUSAN ONLINE