Rumusan SC timbul lebih banyak spekulasi - Utusan Malaysia

Rumusan SC timbul lebih banyak spekulasi

Dr. Muhammad Mohan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Transparency International-Malaysia (TI-Malaysia) menyifatkan penjelasan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak mencukupi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan berkata, penjelasan yang dikemukakan SC hanya akan membawa kepada lebih banyak spekulasi dan tidak membantu untuk menutup kes itu.

“SC harus telus dan mendedahkan hasil siasatan serta menjelaskan mengapa mereka tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa sebarang pelanggaran undang-undang telah berlaku. Orang ramai tidak akan menerima penjelasan ringkas ini.

“TI mengulangi pendirian bahawa penyiasatan bebas dengan anggota yang berkelayakan harus dijalankan bagi menentukan kebenaran dan kita mesti berlaku adil kepada Azam kerana beliau tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya oleh pasukan siasatan bebas. Penemuan oleh pasukan penyiasat bebas harus diterima oleh semua,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan SC yang tidak dapat memuktamadkan bahawa Azam telah melanggar peruntukan undang-undang berkaitan dengan pemilikan saham.

Presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia, Shahul Hamid Abdul Rahim turut menyeru SC mengemukakan laporan yang lengkap mengenai siasatan terhadap Azam.

“Kita tidak berpuas hati dengan penjelasan SC kerana ia terlalu ringkas, sepatutnya berilah isi kandungan yang tepat dan memuaskan. SC perlu telus dan berani, barulah tidak ada pertikaian mana-mana pihak. Kalau tidak, sampai bila tidak selesai.

“Macam mana Azam nak teruskan tugasnya kalau orang masih tak percaya,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Yayasan Anti Rasuah Malaysia serta Naib Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Md. Alimuddin Rahim berkata, SC perlu menjelaskan lebih lanjut sebagai kes duluan untuk peraturan kepada lain-lain penjawat awam yang melakukan sebarang pembelian saham.

“Wujud keperluan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengemaskini dan jika perlu membuat Pekeliling Perkhidmatan yang lebih lengkap berdasarkan senario sekarang yang lebih kompleks contohnya pembelian saham luar negeri dan transaksi crypto seumpamanya.

“Kuasa bebas SC, jika muktamad, perlu juga dimaklumkan kepada semua pihak dan apa kesalahan yang boleh mensabitkan penjawat awam berkaitan salah laku aspek pembelian saham secara salah atau melanggar peraturan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN