PPDNHEP sedia ambil tindakan isu bekalan minyak masak - Utusan Malaysia

PPDNHEP sedia ambil tindakan isu bekalan minyak masak

MOHD. RIDZUAN Ab. Ghapar menunjukkan minyak masak yang dipek dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) yang dijual pada harga lebih rendah daripada harga pasaran menerusi PJKM di pekarangan Masjid At-Taqwa, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengakui masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi atau minyak peket masih berlaku di negeri ini. 

Sehubungan itu, Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemantauan berterusan akan terus dijalankan kerana pihaknya memandang serius isu itu serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mempunyai bukti kukuh. 

“Memang ada aduan yang kita terima. Ada (aduan) yang kita dapat daripada media sosial dan ada juga yang kita terima secara rasmi. 

“Saya telah arahkan pegawai-pegawai untuk memberi tumpuan khusus terhadap kes ini (kekurangan bekalan minyak masak),” katanya kepada pemberita ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid At-Taqwa, di sini hari ini. 

Jelas Mohd. Ridzuan, antara punca kekurangan bekalan minyak masak yang dikenal pasti setakat ini adalah disebabkan berlakunya penyelewengan. 

Katanya, ini termasuk susulan satu serbuan yang dijalankan terhadap sebuah premis yang digunakan untuk membungkus semula kira-kira 20 tan minyak masak bersubsidi di Jalan Bagan Ajam, dekat sini baru-baru ini. 

Menurut beliau, meskipun tiada tangkapan yang dibuat ketika itu, pihaknya telah mengambil keterangan pemilik premis untuk tindakan lanjut. 

“Setiap aduan yang kita terima memang kita akan buat risikan, siasatan dan jika ada asas yang kukuh, kita akan terus buat rampasan dan serbuan terhadap mana-mana pemborong atau syarikat yang disyaki,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, katanya, sebanyak 13 PJKM telah diadakan di Pulau Pinang setakat ini dan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. 

“Dari segi kehadiran pula, ada tempat yang mencecah antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa dengan jumlah kehadiran minimum yang direkodkan tidak kurang 500 orang,” katanya. 

Sementara itu, seorang pengunjung, Pynun Pydi, 73, berpuas hati dengan harga barang yang ditawarkan menerusi PJKM kerana kebanyakannya lebih murah berbanding harga pasaran ketika ini. 

“Kalau boleh diadakan di lokasi yang sama setiap bulan, lebih baik,” kata ibu kepada dua orang anak itu. 

Anjali Devi, 50, turut sependapat dengan Pynun dan berharap program itu diteruskan untuk tempoh lebih panjang kerana sangat bermanfaat untuk rakyat ketika ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.