Pengeluaran getah asli menurun lebih 25 peratus - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli menurun lebih 25 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli menurun 26.8 peratus bulan ke bulan November lalu pada 31,577 tan metrik berbanding 43,127 tan metrik pada Oktober.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahunan turut menunjukkan pengeluaran turun 25.8 peratus berbanding 42,554 tan metrik pada November. 

“Penyusutan pengeluaran ini berikutan gangguan bekalan di peringkat penawaran akibat ketidaktentuan cuaca serta faktor taburan hujan yang tinggi. 

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada November disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.8 peratus) berbanding sektor estet sebanyak (10.2 peratus).

“Jumlah stok getah asli menurun 4.2 peratus pada November kepada 269,757 tan metrik berbanding 281,718 tan metrik pada Oktober.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan. 

Ujarnya, eksport getah asli Malaysia berjumlah 60,942 tan metrik pada November, menurun dua peratus berbanding 62,167 tan metrik pada Oktober. 

Mohd. Uzir memberitahu, China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November diikuti Amerika Syarikat (AS) (11.4 peratus), Jerman (5.1 peratus), Iran (4.0 peratus) dan Finland (3.7 peratus).

Jelasnya, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. 

Tambah beliau, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.5 billion pada November 2021, menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding RM2.16 bilion pada Oktober lalu. 

“Analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding 553.64 sen sekilogram pada November dan sekerap sebanyak 1.3 peratus berbanding 586.10 sen sekilogram, 

“Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) yang meningkat antara 1.1 hingga 6.1 peratus. 

“Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data turut menunjukkan harga bagi getah jenis Technically Specified Rubber 20 (TSR 20) dan Singapura atau Malaysia masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 3.2 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya