Nelayan asing ceroboh tangkap siput, bot disita - Utusan Malaysia

Nelayan asing ceroboh tangkap siput, bot disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Perikanan negeri memberi peringatan tegas termasuk akan menyita bot-bot nelayan luar yang menceroboh perairan Perlis menangkap siput retak seribu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perikanan negeri, Ismail Ibrahim menegaskan, tindakan menceroboh perairan Perlis menangkap siput adalah satu kesalahan kerana negeri ini tidak mengeluarkan lesen menangkap siput sejak sekian lama.

Kata beliau, pihaknya mempunyai rekod tangkapan dan kesalahan yang dilakukan nelayan luar terbabit dan jika kesalahan sama berulang, mereka akan berdepan tindakan tegas seperti pendakwaan di mahkamah yang membawa kepada penyitaan bot dan peralatan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sepanjang 2021, sebanyak 117 rondaan di laut dilakukan dan hasilnya Jabatan Perikanan dengan kerjasama agensi terlibat seperti polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya melakukan 24 sitaan dan tangkapan.

“Jabatan juga melakukan 121 pe­meriksaan vesel dan bot di laut bagi memastikan tidak ada penyeludupan warga asing, peralatan tangkapan yang dilarang serta penyeludupan barang-barang yang terlarang,” katanya.

Minggu lalu, Utusan Malaysia dalam laporan khasnya melaporkan pendapatan kira-kira 1,000 nelayan terutama nelayan pesisir pantai di Perlis merosot sehingga RM1.4 juta sebulan atau RM70,000 sehari berikutan kekura­ngan hasil laut akibat pencerobohan nelayan luar yang menangkap siput secara tidak sah di perairan negeri ini

Dakwa nelayan terlibat, jika dahulu purata pendapatan mereka sekitar RM100 sehari namun kebelakangan ini mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM30 dan pernah pulang dari laut dengan tangan kosong.

Tambah Ismail, selain rondaan di laut, pemeriksaan di darat turut diadakan sepanjang tahun 2021 iaitu sebanyak 695 kali.

Ujarnya, sebanyak tujuh kes di ba­wah kesalahan menggunakan perala­tan sangkar penangkapan siput retak seribu direkodkan selain 10 kes melibatkan peralatan dilarang seperti bubu naga atau bubu kamban.

Selain itu, kata beliau, terdapat lima kes sitaan peralatan yang tidak dilesenkan seperti sangkar dan tangguk bergalah serta dua kes peralatan yang dilarang (rawa surong).

Jelasnya, daripada keseluruhan kes tangkapan yang dibuat oleh Jabatan Perikanan negeri masih terdapat 11 kes yang berstatus dalam proses perundangan.

“Usaha dan tindakan yang dibuat Jabatan Perikanan negeri jelas membuktikan bahawa kami tidak memandang ringan terhadap cubaan pelanggaran aktiviti perikanan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Jabatan Perikanan negeri bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di laut berpandukan kepada Akta Perikanan 1985.  Kerjasama antara Jabatan Perikanan dan agensi penguatkuasaan lain seperti pasukan polis marin dan Maritim Malaysia sentiasa dilakukan bagi memastikan pencerobohan dapat dikekang,” jelasnya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN