KLANG: Beberapa kedai barang elektrik kini sibuk melayan mangsa banjir yang membeli barang tersebut susulan ketua isi rumah (KIR) menerima e-baucar bernilai RM500 bagi membeli keperluan itu.
Mereka dilihat membanjiri kedai berkenaan bagi menggantikan peralatan kegunaan harian yang rosak eperti seterika, kipas mudah alih dan ketuhar.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai di pekan Kapar di sini semalam mendapati, pekerja kedai tidak menang tangan melayan mangsa yang hadir ke kedai mereka, namun keadaan masih terkawal.
Salah seorang penerima e-baucar itu, V. Sijaya, 60, berkata, dia hanya membeli kipas mudah alih, ketuhar dan peti sejuk mini dengan keseluruhan nilai barangan berjumlah RM480.
“Tak beli barangan elektrik lain walaupun dapat Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kerana duit dua bantuan ini saya gunakan untuk membaiki kerosakan rumah.
“Sekiranya ada keperluan untuk membeli barangan elektrik lain, saya akan beli kemudian,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan itu, S. Letchumani, 35, berkata, nilai e-baucar yang diberikan kerajaan sebenarnya tidak mencukupi dengan bilangan barangan elektriknya yang rosak akibat bencana tersebut, pertengahan bulan lalu.
Oleh demikian, dia berharap kerajaan dapat menambah jumlah itu pada masa akan datang.
“Selain kerajaan Malaysia, saya harap kerajaan Selangor boleh beri baucar pemberian yang sama kepada mangsa banjir di negeri ini.
“Saya bukan orang senang dengan pendapatan bawah RM2,000 sebulan. Jadi, diharap kerajaan Selangor boleh pertimbangkan perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










