Kotak akuarium berisi dadah bernilai RM1.99 juta dirampas - Utusan Malaysia

Kotak akuarium berisi dadah bernilai RM1.99 juta dirampas

JAUTEH Dikun (dua kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kotak barangan yang disangka peralatan akuarium rupa-rupanya mengandungi dadah jenis syabu yang dihantar menerusi khidmat penghantaran barang pada 4 Januari lalu.

Penemuan itu membawa kepada rampasan keseluruhan dadah seberat 55.4 kilogram bernilai RM1.99 juta dalam dua serbuan berasingan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, berdasarkan pemeriksaan pada sebuah kenderaan di tempat letak kereta di sebuah syarikat penghantaran barang di Pekan Inanam di sini kira-kira pukul 4.15 petang Selasa minggu lepas, polis berjaya menemukan tiga kotak barangan akuarium yang mengandungi dadah.

Pemeriksaan lanjut mendapati kotak barangan itu mengandungi dadah jenis syabu seberat 33.62 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.21 juta.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang merupakan pemandu kenderaan yang dipercayai disewa tersebut.

“Hasil siasatan membawa kepada serbuan kedua di sebuah bangunan komersial di Aeropod pada 9 Januari, pukul 9.50 pagi dengan dipandu arah oleh suspek.

“Serbuan ini membawa kepada penemuan dua kotak barangan akuarium yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 21.78 kilogram yang dianggarkan bernilai RM784,000. Rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM1.99 juta.

“Selain dadah, anggota kita juga berjaya merampas wang tunai bernilai RM102,097 dan membawa jumlah keseluruhan rampasan kepada RM2.09 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Jauteh berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini menggunakan khidmat penghantaran barang yang didaftarkan sebagai barangan akurarium untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Mengulas lanjut katanya, kejayaan tangkapan dan rampasan itu adalah hasil perkongsian maklumat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan JSJN IPK Sabah.

Tambah beliau, saringan awal mendapati suspek positif dadah dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mencuri dan penyalahgunaan dadah.

Suspek masih direman sehingga 18 Januari ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jauteh berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada dadah itu untuk pasaran Sabah mahupun sekadar transit. Dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung sehingga 280,000 orang penagih.-UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya