Keputusan Muhyiddin tidak tanding PRN Johor beri kesan positif kepada PN - Utusan Malaysia

Keputusan Muhyiddin tidak tanding PRN Johor beri kesan positif kepada PN

MUHYIDDIN Yassin hadir dalam Mesyuarat Bersatu Johor di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat akan memberi kesan positif kepada kempen Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, hal itu kerana beliau tidak lagi perlu berkempen hanya untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Menurutnya, keputusan dibuat Muhyiddin sekali gus akan membolehkan Presiden Bersatu itu memberi tumpuan kepada segenap aspek jentera dan kempen PN di negeri ini.

“Jika Muhyiddin tidak bertanding dalam PRN Johor, saya lihat itu adalah satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa untuk perkukuh peluang PN.

“Saya yakin dengan kepimpinan dan pengalaman beliau yang telah menghadapi pelbagai pilihan raya sebelum ini, kita akan mampu beroleh kemenangan.

“Jadi jika ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi kesan kepada PN dalam PRN Johor, ya memang ia memberi kesan, ia memberi kesan positif,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusinya dalam PRN Johor dan akan menyerahkan kerusi DUN Gambir kepada tokoh lain untuk menerajuinya.

“Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan sebab mahu menumpukan sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen atau pusat dan menguruskan parti serta menyampaikan mesej perjuangan kita dan sebagainya.

“Jadi saya hendak beri peluang kepada ramai lagi tokoh di Johor terutama untuk kerusi itu dan saya serah kepada mereka nantilah siapa yang hendak mengisi, itu kita akan putuskan kemudian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Negeri Johor di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd. Solihan turut memberitahu, kepimpinan pusat telah membuat keputusan agar kerusi Gambir diserah kepada Bersatu Bahagian Ledang.

“Saya selaku Ketua Bahagian Bersatu Ledang boleh beritahu, kami sudah mempunyai calon yang bersesuaian dan diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Gambir.

“Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat,” tambahnya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×