Kejayaan, pengorbanan 'Wira Merah' hadapi bencana 2021 - Utusan Malaysia

Kejayaan, pengorbanan ‘Wira Merah’ hadapi bencana 2021

WARTAWAN Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman menerima sijil penghargaan bomba pada majlis perbarisan tahunan 2022 di Putrajaya. - JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bencana banjir yang berlaku akhir tahun lalu menyaksikan seramai 1,741 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerahkan dan sebanyak 406 aset darat dan marin digerakkan secara langsung di lapangan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ini bagi tujuan operasi mencari, menyelamat, memindah, membantu mangsa banjir di 250 lokasi melibatkan lapan negeri sekali gus berjaya menyelamat dan memindahkan 17,001  keluarga dan melaksanakan operasi pemulihan bagi 34 mangsa lemas di seluruh  negara. 

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam pada usaha menyelamatkan orang awam, seramai 354 anggota bomba turut menjadi mangsa banjir apabila rumah mereka turut terjejas dan ahli keluarga mereka juga perlu diselamat dan dipindahkan. 

“Sanjungan saya kepada semua wira merah yang terlibat bertungkus lumus dalam menyelamatkan mangsa banjir walaupun rumah mereka  sendiri rosak dan hanyut, pada masa sama, ahli keluarga dan kenalan terdekat turut ditimpa musibah. 

“Saudara dan saudari masih bisa tegak berdiri membantu rakyat keluar dari belenggu kemudaratan akibat daripada bencana ini dan terus menghulur jasa bakti tidak ternilai di kala orang lain susah berhadapan dengan kecemasan,” katanya ketika berucap pada majlis perbarisan tahunan 2022 di sini hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, kejadian bencana 2021 memberi gambaran  bahawa kecemasan yang menjejaskan  keselamatan penduduk bukannya berlaku  ketika perubahan cuaca seperti musim monsun Timur Laut sahaja, malah, ia boleh melanda bila-bila masa khususnya di kawasan berisiko  tinggi.

Oleh itu, katanya, penilaian risiko perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan penduduk sentiasa diberi keutamaan dan dipantau. 

Daripada pengalaman pengurusan  dan pengendalian operasi bencana bencana  ini, katanya, perancangan dan persediaan rapi dan mantap serta gerakan respon yang  tangkas disertakan dengan koordinasi bersepadu akan mengurangkan kesilapan profesional seterusnya objektif misi untuk mengurangkan kemudaratan, kerosakan dan kematian, akan tercapai. 

“Sebagai agensi kecemasan yang  respon kepada setiap kejadian kecemasan,  detik masa itu dan tempoh kehadiran pasukan penyelamat di tempat kejadian adalah suatu  kriteria yang amat penting. 

“Pada tahun 2020, Purata Response Time  Kebangsaan adalah 11.58 minit manakala  Purata Response Time Kebangsaan pada tahun 2021 ialah 8.54 minit,  penambahbaikan sebanyak 3.04 minit  berbanding 2020,” katanya.

Beliau berkata,  sepanjang tahun lalu, sebanyak 167,989  kes kecemasan dihadiri pasukan ini  di seluruh negara, atau 460 panggilan  kecemasan dalam setiap satu hari meliputi  35,902 (21 peratus) kes kebakaran, 131,916  (78.5 peratus) adalah tugas penyelamatan dan tugas-tugas khas sekali gus menunjukkan trend peningkatan sebanyak 34.83 peratus  berbanding tahun 2020. 

Katanya, secara keseluruhannya, seramai 79 mangsa terkorban akibat kebakaran pada tahun lalu, namun, angka ini menurun sebanyak  33.61 peratus berbanding tahun 2020, manakala  mangsa meninggal dunia akibat lemas pula mencatatkan peningkatan sebanyak 28.06 peratus iaitu seramai 306 orang. 

“Sementara itu,  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan sejumlah  RM8.86 billion nilai harta daripada kejadian kebakaran dibandingkan dengan nilai  kemusnahan dan kerugian berjumlah  RM1.76 billion,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya