Russia minta AS pindah diplomat di Kyiv - Utusan Malaysia

Russia minta AS pindah diplomat di Kyiv

SEBUAH bangunan menjadi sasaran serangan Russia di Kyiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia telah mengeluarkan amaran keras kepada seluruh warga asing dan diplomat yang menetap di Kyiv agar segera meninggalkan bandar raya berkenaan.

Ini adalah susulan pendedahan rancangan Moscow untuk melancarkan lebih banyak siri serangan udara ke atas ibu negara Ukraine dan pusat pentadbiran kerajaan di wilayah terbabit.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov turut menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk memindah keluar para diplomat mereka dari kedutaan di Kyiv. 

Saranan tersebut disampaikan beliau secara peribadi menerusi satu panggilan telefon bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Isnin.

“Sergei Lavrov menarik perhatian mengenai kenyataan rasmi Kementerian Luar Russia bertarikh 25 Mei. 

“Ia mengesyorkan agar pihak AS bersama negara-negara lain yang mempunyai misi diplomatik di Kyiv, memastikan pemindahan keluar segera kakitangan diplomatik serta warga mereka dari ibu negara Ukraine,” jelas Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan rasmi.

Amaran pengosongan bandar itu dikeluarkan sehari selepas Russia melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron secara besar-besaran di Kyiv.

Ia disifatkan antara operasi ketenteraan terbesar ke atas Kyiv sejak tahun 2022. Serangan dahsyat itu dilaporkan telah mengorbankan dua nyawa dan menyebabkan lebih 90 individu lain cedera.

“Dalam keadaan semasa, Angkatan Tentera Russia kini mula melancarkan serangan secara sistematik terhadap kemudahan industri ketenteraan Ukraine di Kyiv,” tegas Kementerian Luar Russia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN