MILAN: Pendahulu Giro d’Italia 2026, Jonas Vingegaard mengakui dia tidak melihat dirinya terus berlumba hingga usia 35 tahun meskipun kini semakin hampir melengkapkan koleksi tiga Grand Tour dalam kariernya.
Pelumba Denmark berusia 29 tahun itu kini berada di landasan terbaik untuk muncul juara Giro buat kali pertama selepas selesa menyarung jersi merah jambu dengan kelebihan hampir dua minit 30 saat (s) ke atas pencabar terdekat berbaki seminggu perlumbaan.
Sekiranya berjaya menjuarai Giro kali ini, Vingegaard akan menjadi pelumba kelapan dalam sejarah yang melengkapkan ‘Grand Tour clean sweep’ selepas sebelum ini memenangi Tour de France 2022 dan 2023 serta Vuelta a Espana tahun lalu.
“Saya hanya fikir dari tahun ke tahun dan selagi saya masih menikmati perlumbaan ini, saya akan terus berlumba.
“Saya juga tidak nampak diri saya terus berlumba sehingga umur 35 tahun dan sebenarnya masa itu tidaklah terlalu lama lagi,” kata Vingegaard.
Walaupun semakin hampir mencipta sejarah baharu, Vingegaard mengakui masih ada beberapa sasaran lain yang mahu dicapai termasuk memenangi beberapa perlumbaan peringkat seminggu yang belum pernah dimenanginya sebelum ini.
“Sudah tentu memenangi Giro akan jadi pencapaian besar buat saya tetapi saya juga mahu menang perlumbaan seminggu lain yang belum pernah saya menangi,” katanya.
Dalam masa sama, Vingegaard tetap meletakkan fokus utama untuk menewaskan seteru utamanya, Tadej Pogacar pada Tour de France Julai nanti selepas percaya aksi di Giro mampu meningkatkan tahap prestasinya ke tahap lebih tinggi.
“Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan bagaimana mahu mengharungi Giro ini kerana saya percaya tahap saya biasanya lebih tinggi selepas mengharungi satu Grand Tour,” katanya lagi. – AGENSI/UTUSAN










