Tiga lelaki didenda RM7,000 jadi ‘keldai akaun’

Tiga lelaki didenda RM7,000 jadi ‘keldai akaun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi keldai akuan kepada sindiket penipuan pinjaman dan pekerjaan tidak wujud, tahun lalu.

Majistret A. Shaarmini menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Raihan Nor Azali, 25; Mohamad Zuhri Zulfikri Mohd. Zainon, 27; dan Mamor Bulat, 59, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati secara tidak langsung menggunakan akaun bank dan akaun pembayaran digital masing-masing berjumlah RM1,525.70; RM720 dan RM540 bagi satu transaksi tanpa tujuan yang sah.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Scientex, Bandar
Layangkasa dan Jalan Timah 1 Perindustrian Pasir Gudang di Pasir Gudang di sini, antara 19 Jun hingga 28 Ogos tahun lalu.

Kesemua mereka didakwa Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Mohamad Zuhri Zulfikri dan Mamor masing-masing didenda RM2,500 manakala Raihan didenda RM2,000 dan kesemua mereka membayar denda berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita Nurul Najeeha Ismail, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama berkaitan keldai akaun.

Pekerja swasta itu didakwa secara tidak langsung menggunakan akaun miliknya di sebuah institusi kewangan bagi suatu transaksi berjumlah RM12,449.78 tanpa maksud yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu Jalan Sentosa 11, Taman Nusa Damai, Pasir Gudang di sini pada 19 April tahun lalu turut didakwa di bawah seksyen sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN