PETALING JAYA: Di sebalik keadaan aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan usang, ia sebenarnya adalah alat pertahanan terpakai atau ‘second hand’ yang kebanyakannya diderma daripada negara luar.
Justeru, tidak hairan mengapa hampir 60 peratus aset agensi berkenaan kelihatan uzur sehingga mengganggu sistem operasi kerana ‘barangan terpakai’ tidak memberi kesan efektif dalam melaksanakan fungsinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, kekurangan dalam pemilikan aset pertahanan seperti maritim mesti ditangani dengan segera bagi mengelak masalah lebih besar dalam domain maritim.
“Banyak aset agensi maritim negara diterima sebagai derma atau diberi oleh tentera laut dari negara lain. Apabila kerajaan memakai aset ini, ia bukan lagi aset baharu, tetapi barang terpakai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam yang memetik Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som sebagai berkata, Maritim Malaysia memerlukan kapal besar yang sesuai untuk bertahan lama di laut sehingga 28 hari bagi melaksanakan tugas rondaan persempadanan perairan lebih efektif.
Bagaimanapun Chin Tong tidak memperincikan aset-aset maritim yang dikatakan sebagai terpakai dan derma daripada pihak luar serta digunakan oleh penguat kuasa negara ini.
Maritim Malaysia atau dikenali sebagai Pengawal Pantai Malaysia merupakan agensi kerajaan bertanggungjawab mengawasi setiap kawasan maritim di negara ini aman dan selamat untuk masyarakat dan negara.
Mengulas lanjut, Chin Tong menyarankan kerajaan memperuntukan dana lebih besar kepada Maritim Malaysia bagi menanggung keperluan kepada agensi berkenaan.
“Kerajaan perlu menaik taraf fungsi Maritim Malaysia sehingga ke tahap seperti pengawal pantai di negara luar seperti Amerika Syarikat dan peruntukan sekarang RM500 juta tidak dapat menampung semua keperluan agensi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE









