PUTRAJAYA: Malaysia bukanlah habitat bagi penguin, namun, daging spesis burung air itu sebenarnya halal dimakan umat Islam.
Berdasarkan penjelasan diberikan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portal Maktabah Al-Bakri, daging penguin halal untuk dimakan kerana haiwan itu termasuk dalam kategori burung air.
Menurutnya, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan.
“Pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya.
“Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram,” katanya.
Katanya, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, bangau haram dimakan kerana kejijikan dagingnya kerana haiwan itu memakan kotoran dan ular.
“Fakhruddin al-Razi juga ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan.
“Ia akan menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram,” katanya. -UTUSAN ONLINE