YDP Dewan Rakyat perjelas mengapa tolak bahas isu banjir - Utusan Malaysia

YDP Dewan Rakyat perjelas mengapa tolak bahas isu banjir

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Adalah tidak wajar menjadikan Dewan Rakyat seperti kedai kopi dengan membangkitkan apa sahaja isu dengan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Malah, apa yang mendukacitakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,  tiada satu usul dibuat mana-mana ahli Parlimen untuk membahaskan isu banjir ketika persidangan kelmarin.

Justeru, beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya menolak usul untuk membahaskan isu banjir.

“Dewan Rakyat sepatutnya mendengar pembentangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan ) 2021. Namun demikian, pembentangan tidak dapat dilakukan kerana proses libat urus antara Khairy dan pembangkang belum tamat dan terdapat isu mengenai Rang Undang-Undang yang perlu diselesaikan.

“Malah, pembentangan tersebut sepatutnya menjadi agenda dalam aturan urusan mesyuarat pada hari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Jelas Azhar Azizan, tanpa apa-apa notis, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng kemudian bangun meminta penerangan menteri mengenai isu banjir.

“Sebenarnya, mengikut Peraturan Mesyuarat tiada prosedur di mana seorang Ahli Parlimen itu boleh meminta penerangan menteri. Ahli Parlimen hanya mempunyai hak untuk memberikan soalan bagi jawapan lisan.

“Pada hari tersebut, tiada soalan untuk jawapan lisan menteri yang dibuat oleh mana-mana ahli parlimen.Malah pada hari tersbeut soalan untuk jawapan lisan juga tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat,” katanya.

Sejurus selepas itu, kata Azhar Azizan,  Ahli Parlimen Pokok Sena,  Mahfuz Omar dan ahli Parlimen pembangkang yang lain bangun membahaskan soal banjir berkenaan.

“Saya menjawab bahawa perkara tersebut tiada dalam aturan urusan mesyuarat. Maka, saya tiada kuasa untuk membenarkan apa-apa perbahasan seperti yang diminta. Ahli Parlimen semuanya sedia maklum akan hal ini kerana mereka berpengalaman. Namun, saya tidak tahu mengapa mereka berbuat demikian,” ujarnya.

Mengulas berkenaan perbahasan, beliau berkata, ia diadakan sekiranya ada usul  sama ada usul untuk mencadangkan sesuatu perkara ataupun untuk membentangkan rang undang-undang.

“Notis usul perlu diberikan kepada saya. Bagi hal tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul dibawah Aturan 18 (1) perlu dibuat kepada saya sehari lebih awal. Untuk hak banjir ini, ahli parlimen boleh memberikan notis melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut iaitu pada 20 Disember, namun tiada seorang pun berbuat demikian,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain Azhar Azizan berkata, tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah lebih bersifat politik semata-mata.

“Tiada Parlimen di negara Komanwel yang membahaskan isu  yang dipetik sesuka hati dan pada bila-bila masa tanpa mengikut aturan dan peraturan mesyuarat.

“Bayangkan apabila ada ahli parlimen bangun sesuka hati dan mengkehendaki apa-apa isu untuk dibahaskan walaupun perkara tersebut tiada dalam agenda mesyaurat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya