JOHOR BAHRU: Peniaga khususnya di sekitar bandar raya ini diingatkan agar tidak menaikkan harga barangan jualan sesuka hati susulan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura melalui inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.
“Sekiranya berlaku kenaikan harga tinggi yang mendadak akibat pembukaan VTL darat itu, kita akan ambil tindakan segera dan tegas mengikut akta sedia ada, ini kita beri jaminan kepada pengguna.
“Pengguna diminta untuk membuat aduan terus kepada kita melalui medium aduan-aduan yang disediakan,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat negeri di Pasaraya Econsave Taman Daya, di sini.
Pada 29 November lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju melakukan inisiatif VTL darat dan udara secara serentak bagi menghubungkan semula rakyat kedua-dua negeri berkenaan.
Pelaksanaan VTL darat melibatkan seramai 1,440 pengembara sehari dalam tempoh seminggu pertama manakala VTL udara melibatkan laluan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Tambah Mohd. Hairul Anuar lagi, masyarakat juga perlu mengamalkan perbelanjaan secara bijak dengan sentiasa membuat perbandingan harga sebelum membuat sebarang pembelian.
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan KPDNHEP Johor untuk pelaksanaan program berkenaan yang menawarkan harga barangan keperluan harian lebih rendah kepada pengguna.
“Harga barangan yang dijual di sini adalah sekitar 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pada waktu biasa. Contoh harga ayam dijual RM7.99 sekilogram sahaja, kalau sebelum ini RM8 lebih.
“Harga barangan pasar raya Econsave lebih murah berbanding tempat lain kerana kami telah memotong penglibatan orang tengah dalam mendapatkan bekalan. Jadi kami harap program ini dapat membantu masyarakat sekitar dalam membuat perbelanjaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN










