TPB2030 melahirkan generasi baharu bumiputera dinamik, berdikari dan berintegriti - Utusan Malaysia

TPB2030 melahirkan generasi baharu bumiputera dinamik, berdikari dan berintegriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) adalah penting dalam memastikan hala tuju agenda bumiputera yang baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Rangka tindakan ini juga penting untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi bumiputera agar tiada bumiputera yang tertinggal seterusnya memastikan kelestarian dan kesaksamaan antara kaum dapat dicapai selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md. Silmi Abd. Rahman berkata, seiring dengan objektif utama itu, TERAJU sebagai penggerak TPB2030 akan memperkenalkan perancangan strategik berimpak tinggi yang berupaya menghasilkan bumiputera masa hadapan yang dinamik, berdikari dan berintegriti.

Ujarnya, ia penting bagi membuka lebih banyak peluang untuk generasi akan datang.

“Generasi muda bumiputera juga perlu mempunyai wawasan dan berani bersaing di peringkat global dan serantau supaya dapat merapatkan jurang antara kaum di negara ini. 

“Selain menyalurkan dana, TERAJU juga tampil dengan pelbagai program polisi bagi memudahkan perjalanan tersebut. Generasi muda perlu lebih berdikari dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan kerana kita (TERAJU) bertindak sebagai pemudah cara,” katanya dalam taklimat Majlis Pelancaran TPB2030, baru-baru ini.

TBP2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Orang ramai boleh menyaksikan pelancaran secara langsung melalui  Facebook Live @terajuofficial seawal 9.00 pagi manakala pihak yang berminat untuk datang ke pameran diwajibkan untuk membuat pendaftaran awal melalui pautan http://tpb2030.com/.

 

Sementara itu, Pengarah Perancangan Strategik (Perancangan, Analitik, Sistem Maklumat dan Pengurusan Data) TERAJU, Nik Nazree Nik Abdul Rahman menjelaskan, TPB2030 menggariskan enam sasaran utama iaitu meningkatkan nisbah pendapatan isi rumah mengikut etnik sehingga RM18,402.68 dan meningkatkan nisbah median gaji atau upah mengikut etnik sebanyak RM5,169, dua kali ganda daripada jumlah sekarang.

Selain itu katanya, aset kewangan per kapita mengikut etnik disasar meningkat sebanyak RM4,496 dan Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) perniagaan bumiputera sebanyak 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM438 bilion.

“TPB2030 juga menyasarkan penglibatan bumiputera dalam pekerjaan mahir sebanyak 3.2 juta pekerjaan dan pemilikan kediaman oleh bumiputera sebanyak 4.7 juta unit dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, kita tidak boleh menggunakan cara biasa memandangkan sasaran-sasaran ini adalah tiga kali ganda berbanding pencapaian semasa. Kita perlu mempergiat usaha daripada sekarang tambahan pula dengan cabaran pandemik yang masih berleluasa,” ujarnya.

Nik Nazmee menekankan, sebanyak tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) telah dikenal pasti bakal memainkan peranan dalam memacu sosioekonomi bumiputera iaitu pertanian dan komoditi; ekonomi digital; hab halal dan makanan; hab kewangan Islam; logistik, pengangkutan dan mobiliti lestari; pembuatan serta pelancongan.

Justeru katanya, sebanyak 106 program pembangunan KEGA dan 36 inisiatif bidang keutamaan dikenal pasti membabitkan GOS sebanyak RM201.53 bilion.

“Ini membabitkan 29 program berkaitan pertanian dan komoditi dengan RM25.06 bilion GOS, 30 program ekonomi digital (RM65.17 bilion GOS), 11 program pembangunan hab halal dan makanan (RM11.75 bilion GOS), enam program hab kewangan Islam (RM17.63 GOS).

“Selain itu, 11 program pembangunan logistik (RM15.86 bilion GOS), 10 program pembangunan pembuatan (RM29.56 bilion GOS) dan sembilan program pembangunan pelancongan (RM36.45 GOS),” jelasnya.

Tambah beliau, sasaran tersebut akan dipacu tujuh strategi bidang keutamaan (PA) iaitu mempercepat pembangunan sosioekonomi bumiputera, menambah baik tadbir urus dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan.

“Kita juga akan  berusaha meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan bumiputera, meningkatkan penciptaan kekayaan bumiputera, memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf serta memastikan pemilikan ekuiti korporat yang mampan,” ujarnya.

Menurut Md. Silmi, walaupun terdapat peningkatan ketara sejak 1970, pendapatan isi rumah bumiputera masih ketinggalan di bawah purata pendapatan Malaysia. Ini dapat dilihat mengikut statistik 2019, pendapatan isi rumah bumiputera adalah RM5,420, berbanding kaum Cina (RM7,391) dan India (RM5,981). 

“Pekerja bumiputera dalam pekerjaan mahir juga lebih rendah walaupun penglibatan pendidikan di peringkat tertiari lebih tinggi berbanding etnik Cina dan India. Perkara ini secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan yang lebih rendah berbanding etnik lain.

Justeru, lebih banyak sektor swasta diharap dapat bersama-sama menyertai TPB2030 supaya dapat meningkatkan nilai sasaran yang telah kita gariskan. Komitmen berterusan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta amat penting kerana kita mahu mewujudkan lebih banyak syarikat bumiputera menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya