GEORGETOWN: Walaupun hampir berputus asa ketika menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), akhirnya semalam menjadi detik manis buat Dr. Nadirah Zawani Mohd. Nesfu, 32, apabila berjaya mengengam segulung ijazah PhD setelah lapan tahun berhempas pulas menamatkan pengajiannya.
Malah, tambah membanggakan anak jati Batu Maung dekat sini itu berjaya menggenggam dua ijazah berkembar PhD (double PhD) dalam bidang Sains Kimia iaitu daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan University of Lorraine, Nancy, Perancis.
Berkongsi kisah kejayaannya, Nadirah Zawani yang kini bertugas sebagai jurutera penyelidikan di sebuah syarikat swasta berkata, dia menguatkan semangat untuk meneruskan pengajian demi meneruskan cita-cita arwah bapanya yang mahu melihat dia bergelar seorang Doktor Falsafah.
Katanya, bapanya, Mohd. Nesfu Mohd. Noor, 56, meninggal dunia secara mengejut akibat serangan penyakit jantung pada 19 September 2016 ketika dia berada pada tahun ketiga pengajian.
“Saya berada di Perancis ketika itu serta bakal pulang ke Malaysia selepas setahun berada di University of Lorraine dan pemergian ayah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya kerana cita-cita ayah saya untuk melihat saya berjaya dalam pengajian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pesanan arwah bapanya supaya tidak berputus asa walaupun selama mana masa diambil untuk menghabiskan PhD sering diingatinya sepanjang bergelar penuntut.
“Arwah ayah saya pernah berkata, biar lambat seperti kura-kura pun tidak mengapa asalkan pengajian PhD berjaya ditamatkan.
“Saya pegang kata-kata itu dan ketika di pentas menerima PhD semalam saya merasakan seolah-olah arwah ayah masih di sisi saya,” katanya.
Tambahnya, pengajian sehingga peringkat PhD memerlukan masa dan pengorbanan yang tinggi serta sokongan daripada ahli keluarga.
Namun tambahnya, dia bersyukur kerana ibunya, Mudirah Mohd. Hazri, 65, dan suaminya, Ariffudin Shamsudin, 32, serta ahli keluarga lain sentiasa memberi sokongan sepanjangnya berada dalam tempoh pengajian.
“Sesiapa sahaja yang masih bergelar pelajar PHD, istilah putus asa dan patah semangat perlu dijauhi kerana kemanisan ketika menggenggam ijazah PhD sukar diterjemah dengan kata-kata,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, mereka yang masih bergelar penuntut peringkat PhD juga perlu mengelak membuat perbandingan tempoh masa seseorang itu menghabiskan pengajian kerana perjalanan PhD bagi setiap orang adalah berbeza. -UTUSAN ONLINE