Tambah barang, tempoh SHMKM - Utusan Malaysia

Tambah barang, tempoh SHMKM

WALAUPUN dimasukkan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia, harga ayam dilaporkan masih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga dan barangan yang termasuk dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) perlu ditambah manakala tempoh pelaksanaannya perlu dipanjangkan agar ia tidak menjadi penyelesaian sementara sahaja.

Presiden Lembaga Perlin­dungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, barangan se­perti minyak masak bukan peket, daging termasuk daging kam­bing, ikan kembung, ubi kentang, bihun, ikan sardin dalam tin, bawang besar, bawang merah dan bawang putih perlu dimasukkan dalam senarai.

“Ini kerana ia merupakan bahan makanan atau bahan masakan asas yang sentiasa digunakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, skim harga tersebut perlu dipanjangkan sehingga hujung bulan Februari tahun depan kerana tiga pera­yaan utama bakal tiba pada Di­sember dan Januari depan.

“Perbelanjaan keluarga pasti akan meningkat. Jika dipanjangkan sedikit, langkah itu akan dapat meringankan beban rakyat terutama golongan B40 dan M40.

“SHMKM ini perlu dilaksa­nakan untuk satu tempoh yang lebih panjang seperti tiga atau enam bulan kerana jika hanya tiga minggu sahaja, efektif skim tidak begitu nyata,’’ katanya.

Malah, kata beliau, menje­lang Januari nanti, skim itu wajar dapat dilanjutkan kepada barangan lain seperti pakaian sekolah, alat tulis, buku latihan dan yang berkaitan dengan persiapan persekolahan.

Dalam masa yang sama, kata Nan Sang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu membuat pemantauan lebih kerap bagi memastikan peniaga mematuhi SHMKM.

“Saya pasti banyak pertubuhan bukan kerajaan sedia untuk membantu kementerian demi memastikan skim itu memanfaatkan rakyat terbanyak,” ujarnya.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, pelaksanaan SHMKM berkuat kuasa semalam sehingga 31 Disember ini, sebagai langkah drastik mengatasi isu kenaikan dan menstabilkan harga barangan keperluan asas pada masa ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, harga barangan terdapat dalam SHMKM tersebut perlu dipertimbangkan semula terutama harga ayam yang masih mahal.

“Kami merasakan harga ini masih tinggi terutamanya harga ayam. Khuatir kerana ada kemungkinan besar harganya akan melambung lagi selepas harga kawalan.

“Seperti mana jika dilihat pola kenaikan harga ayam sejak lima tahun lepas, pernah naik melebihi RM 7.00 kerajaan membuat kawalan kepada RM 5.50 ketika itu dan selepas itu tetap juga naik sampai RM 7.80 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×