ARAU: Akta antilompat parti perlu segera digubal dan dilaksanakan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) stabil.
Dalam masa sama, kerajaan ataupun pembangkang perlu menyokong penuh pelaksanaan tersebut bukan sekadar bercakap kosong demi kepentingan politik semata-mata.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan akta antilompat parti, ia perlu digubal dalam tempoh terdekat iaitu sebaik-baiknya sebelum PRU-15.
Katanya, akta tersebut penting bagi mengelak budaya lompat parti yang bukan sahaja menyebabkan kerajaan tidak stabil sebaliknya boleh menggugat keamanan negara.
Ujarnya, budaya lompat parti akan terus berulang jika tidak ada akta khusus yang boleh mengekang perbuatan tersebut.
“Kalau betul nak buat (akta antilompat parti) kena cepatlah. Pembangkang juga perlu memberi sokongan penuh jika akta tersebut dibawa ke Parlimen nanti.
“Akta tersebut perlu segera dilaksanakan jika tidak situasi sama seperti sekarang terus berulang sehingga menyebabkan kerajaan jatuh berulang kali, sekali gus yang terkesan adalah rakyat bukannya orang politik.
“Budaya lompat parti ini juga selalunya dilihat tidak diterima oleh rakyat dan pemimpin pastinya dihukum dalam pilihan raya,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan perbuatan lompat parti wakil-wakil rakyat sebelum atau selepas pilihan raya boleh menggugat kestabilan Malaysia.
Dalam temu bual eksklusif dengan Mingguan Malaysia, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, trend yang disifatkannya cukup berbahaya itu kini menjadi perkara biasa sehingga rakyat menyampah.
Tambah Rusdi, seperti mana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mana-mana calon lompat parti yang bertanding dalam PRN Sarawak juga akan dihukum oleh pengundi.
Katanya, rakyat telah hilang percaya terhadap pemimpin yang lompat parti yang menjadi antara punca ketidakstabilan sesebuah kerajaan. – UTUSAN ONLINE










