MUKADIMAH
CALON Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen dan bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr. Sim Kui Hian (Gabungan Parti Sarawak) dari SUPP mempunyai nilai tambah sama. Kedua-duanya doktor perubatan.
Mereka akan merebut kerusi DUN Batu Kawah. Kelvin merasakan Kui Hian tidak wajar menyandang kerusi itu kerana mempersoal prestasinya sebagai Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Kelmarin, wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN mendapatkan respons Kelvin yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching.
UTUSAN: Kedua-dua anda doktor perubatan, bagus untuk penilaian pengundi Batu Kawah?
KELVIN: Ya, benar, kerana ini satu pilihan raya untuk memilih pembuat dasar, bukannya seorang doktor di hospital. Saya akan cuba bawa pengetahuan menyeluruh khususnya perubatan dalam memastikan polisi dan dasar-dasar untuk Sarawak dimanfaatkan.
Pengalaman sebagai doktor suatu kelebihan?
Sering juga saya berbincang, bertemu dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. Dengan negara masih dalam pandemik Covid-19, saya akan gunakan segala pengetahuan dan pengalaman saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi di Parlimen.
Kenapa pengundi perlu pilih DAP?
Di Batu Kawah masih ramai yang dibelenggu kemiskinan dan berdepan isu-isu asas yang belum selesai ketika GPS memiliki kawasan ini lagi.
Mengapa persoal prestasi Dr. Kui Hian sebagai penasihat JPBNS?
Sepatutnya beliau mainkan peranan lebih agresif menasihati jawatankuasa ini. Tapi lihatlah, kadar positif Covid-19 di Sarawak masih tinggi kerana kurang buat saringan kesihatan. Kita dengar keputusan prosedur operasi standard (SOP) dari kerajaan Pusat. Selepas itu kena dengar semula sama ada boleh pakai atau tidak di Sarawak. Akibatnya lambat buat keputusan.
DAP kian ‘mengecil’ setelah banyak kerusi kalah di PRN Melaka?
Kami ada buat post mortem. Kita perlukan pembangkang yang kuat dan berfungsi kerana tidak mahu kembali ke zaman Barisan Nasional (BN) yang kawal semua kerusi. Perlu ada semak dan imbang supaya Sarawak tidak tertinggal daripada arus pembangunan. – UTUSAN










