RMK-12 peluang pelopori teknologi pembinaan berimpak tinggi - Utusan Malaysia

RMK-12 peluang pelopori teknologi pembinaan berimpak tinggi

FADILLAH Yusof ketika berucap pada malis sambutan HPTN 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Warga teknikal negara yang merupakan penggerak dan pemacu pembangunan negara harus melihat  potensi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai peluang penciptaan dalam  mempelopori teknologi, perniagaan dan pekerjaan baharu  terutamanya bagi golongan muda.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi menyokong pertumbuhan baharu industri pembinaan berimpak  tinggi dan memperkasa konsep insfrastruktur lestari dan berkualiti, Dasar Pembinaan Negara (NCP 2030) diperkenalkan.

Kata beliau, dasar itu bertujuan memacu pengaplikasian teknologi dalam  kitaran proses pembinaan dengan bertemakan ‘Digitalisasi Sektor  Pembinaan’ selari dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025).

“Ia bagi membantu industri  pembinaan mendepani era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4) menerusi penekanan terhadap peningkatan kemahiran dan pengetahuan serta penggunaan teknologi. 

“Sehingga kini, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi di bawah kementerian mengaplikasi dan mengadaptasi teknologi Building Information Modelling (BIM) dalam  pelaksanaan projek sedia ada,” katanya ketika berucap sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021 secara maya hari ini. 

Fadillah berkata, penggiat industri dan profesional teknikal diharap dapat menggunakan program tahunan HPTN itu sebagai landasan memberi pendedahan dan  informasi berkaitan bidang teknikal kepada masyarakat supaya sama-sama berkecimpung dan menyumbang dalam industri ini. 

Katanya, pengiktirafan pegawai JKR  Malaysia sebagai Pegawai Bidang Khusus atau (SME) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyuntik semangat kepada warga kerja  kementerian untuk lebih maju dalam profesion teknikal. 

Beliau menjelaskan, kepakaran  teknikal pegawai JKR bukan sahaja kepada skop kerja seharian, namun dizahirkan juga di dalam bentuk perkongsian ilmu seumpama ini. 

“Oleh itu, kementerian menaruh harapan tinggi kepada JKR untuk melahir, mengasah dan menggilap warga kerja untuk menjadi pakar rujuk teknikal negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN