PH pembangkang sebenar - Utusan Malaysia

PH pembangkang sebenar

Chong Chieng Jen (duduk, tengah) bersama sebahagian calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam sidang akhbar ‘Solidariti Pakatan Harapan’ sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak di Kuching, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pengundi diingatkan tidak membazirkan undi mereka menyokong parti pembangkang selain Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri kali ini.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, ini kerana undi yang memihak kepada parti-parti kecil hanya memecahkan pola undian, sekali gus memberi kelebihan menang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ada banyak yang disebut sebagai parti pembangkang bertanding kali ini. Malah, di beberapa kawasan ada saingan empat hingga lima penjuru.

“Ini mengelirukan pengundi untuk menyokong PH sebagai pembangkang sebenar dan tulen.

“Kami sudah tertubuh lama, mempunyai sejarah tersendiri dan sudah melalui siri pilihan raya,” katanya semasa sidang akhbat Solidariti Pakatan Harapan di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili dan beberapa calon Dewan Undangan Negeri (DUN) DAP, PKR dan Amanah.

PRN ke-12 Sarawak menyaksikan 349 calon layak bertan­ding melibatkan GPS di 82 kerusi serta gabungan PH terdiri dari DAP di 26 kerusi, PKR (28) dan Amanah (lapan).

Parti-parti lain yang dilabelkan pembangkang yang bersaing ialah Parti Bumi Kenyalang (PBK) di 73 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) di 15 kerusi, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bertanding 11 kerusi, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) di lima kerusi serta Pas (satu kerusi). Sejumlah 30 calon Bebas turut bersaing.

Mengulas lanjut, Chieng Jen turut menafikan dakwaan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa PH tidak mela­kukan sebarang pembangunan dalam tempoh 22 bulan pentadbirannya.

Katanya, dalam tempoh itu, partinya sudah pun memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menurunkan kadar inflasi sebagai usaha mereformasikan negara akibat ‘kerosakan’ yang dilakukan kerajaan terdahulu’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN