BETING MARO: Pas tidak akan berhenti bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebelum berjaya menguasai Beting Maro yang menjadi kawasan tumpuan tunggal parti itu.
Menegaskan kepada Utusan Malaysia, calonnya, Mohamad Arifriazul Paijo berkata, istilah serik bertanding juga tidak wujud dalam kamus Pas kerana yakin masih ramai pengundi menyokongnya.
“Saya tidak kecewa, kekalahan Pas hanya kerana trend pengundian rendah di kebanyakan pusat mengundi di Beting Maro dan jika ramai keluar mengundi, sudah pasti kemenangan memihak kepada kami.
“Apapun pihak lain katakan mengenai Pas, kami tidak akan berhenti, kekalahan kelmarin bukan pengakhirannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pas terus kempunan menawan Beting Maro dengan hanya meraih 2,058 undi berbanding penyandang kerusi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Razaili Gapor mendapat 3,769 undi dengan majoriti 1,711 undi.
Di Beting Maro, Pas bagaimanapun menewaskan tiga saingan lain iaitu Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh meraih undi 765; calon Bebas, Safiudin Matsah dengan 636 undi dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jacky Chiew Su Chee (74 undi).
Pas sudah bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak selama empat penggal sejak 2001 hingga 2016, malangnya, parti itu masih gagal meraih kemenangan.
Ditanya sama ada beliau tetap mahu dicalonkan di kawasan sama pada pilihan raya negeri seterusnya, Mohamad Arifriazul optimis terhadap apa sahaja keputusan pucuk pimpinan tertinggi Pas.
“Sesiapa pun boleh menjadi calon di mana-mana tempat, saya tidak mengharap, cuma jika diberi tanggungjawab, saya akan menggalasnya. Pas tetap berdiri teguh di sini,” katanya.
Senada dengan beliau, Ketua Penerangan Pas Sarawak, Zharudin Narudin pula berkata, penyertaan Pas pada pilihan raya kali ini membuktikan jentera tempatan mampu mengharungi pilihan raya tanpa bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada jentera negeri lain.
“Aspirasi rakyat di sini sangat jelas. Dengan undian kedua tertinggi diperoleh Pas, menunjukkan ada harapan untuk kami menang. Isunya cuma pecahan undi berlaku yang mengurangkan undi Pas.
“Jika berlaku perlawanan satu lawan satu antara Pas dengan GPS, pasti menjadi saingan sengit jika undi yang memihak kepada calon Bebas beralih kepada Pas,” katanya. – UTUSAN ONLINE









