[PARLIMEN]Pindaan RUU MA63 bukti kejayaan PM, sokongan perlu diteruskan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]Pindaan RUU MA63 bukti kejayaan PM, sokongan perlu diteruskan

AHLI Parlimen menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tolak PRU awal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan dengan sokongan lebih dua per tiga majoriti ahli parlimen termasuk pembangkang sekali gus membuktikan ini adalah politik baharu serta kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan kejayaan itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, Perdana Menteri perlu terus diberi peluang untuk membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan telah mendapat sokongan dua pertiga terhadap pindaan perlembagaan. Kira-kira 200 orang yang menyokong dan tidak ada seorang pun yang tidak menyokong. Jadi itulah menunjukkan kehebatan, kewibawaan dan kepimpinan seorang Perdana Menteri.

“Jadi kita ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dan kita daripada pihak Backbenchers yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sidang media tersebut dihadiri lebih 20 ahli parlimen, terdiri daripada UMNO, PAS, Bersatu yang menyokong kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) turut berkata, pilihan raya umum tidak perlu diadakan awal memandangkan sokongan terhadap Perdana Menteri utuh dan stabil.

“Tentang pilihan raya, rakyat tidak mahu perkara ini berlaku lagi dan kita juga ada benda yang kita nak selesaikan seperti yang telah kita janji kepada mereka mengenai undi 18 tahun dan banyak perkara lain kita perlu selesaikan.

“Kita hendak pastikan supaya satu penggal, lima tahun itu bermaksud lima tahun. Kita tidak mahu dua tahun sahaja, kita buat pilihan raya. Sebab lima tahun ni bermakna kita boleh merancang untuk lima tahun.

“Dan kita juga boleh menyelamatkan wang untuk tidak adakan sebarang pilihan raya kerana banyak lagi perkara yang kita perlu selesaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) turut menyifatkan pindaan RUU itu merupakan satu ‘hadiah’ buat masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Mudah-mudahan dengan petunjuk ini kita akan menyaksikan satu kekuatan baharu daripada Keluarga Malaysia,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya