Nelayan asing ceroboh Perlis - Utusan Malaysia

Nelayan asing ceroboh Perlis

NELAYAN mengangkat sepanduk membantah pencerobohan nelayan tidak berdaftar dan penangkapan siput di perairan Kuala Perlis di kompleks LKIM, Kuala Perlis, Perlis hari ini.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kira-kira 700 nelayan pesisir pantai di negeri ini terkesan teruk berikutan pencerobohan nelayan luar yang menangkap siput secara tidak sah di perairan negeri ini.

Pencerobohan nelayan yang didakwa dari Thailand dan Kedah itu semakin berleluasa sejak April lalu menyebabkan nelayan pesisir pantai negeri ini mengalami kemerosotan pendapatan yang teruk sejak tempoh itu.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Jasni Hashim berkata, rata-rata nelayan pesisir pantai di sini mengalami kemerosotan pendapatan antara 80 peratus hingga 90 peratus sejak aktiviti penangkapan siput dilakukan secara berleluasa.

Katanya, jika sebelum ini, pendapatan nelayan pernah mencecah RM200 sehari namun kini ada yang hanya membawa pulang tangkapan antara RM15 hingga RM20 sahaja sehari.

“Lebih teruk ada nelayan pesisir pantai yang pergi ke laut tanpa membawa pulang sebarang tangkapan serta terpaksa berhutang untuk menanggung kos minyak atau umpan tangkul.

“Akibat daripada ini, ada yang tidak boleh pergi ke laut dan tidak layak menerima bantuan sara hidup bernilai RM300 sebulan kerana tidak turun ke laut,” katanya di sini hari ini.

Tambah Jasni, pihaknya mendapat aduan dari ahli persatuan mengatakan pencerobohan tersebut dilakukan nelayan yang tidak berdaftar di negeri ini dari Kuala Kerpan dan Bukit Malut, Langkawi serta nelayan asing dari Thailand.

“Banyak bot-bot besar dari Kedah datang ke perairan ini dan menangkap siput dengan cara mengaut menggunakan sangkar yang diharamkan.

“Kaedah itu menyebabkan dasar laut yang menjadi ekosistem pembiakan kepada pelbagai jenis hidupan laut rosak,” katanya.

Katanya lagi, aktiviti penangkapan siput yang dijalankan itu walaupun hanya selama beberapa bulan namun kesannya, nelayan akan berhadapan kepupusan hidupan laut seperti udang dan ketam selama tiga tahun.

Justeru Jasni berkata, golongan nelayan mendesak Jabatan Perikanan supaya betul-betul bertindak dalam membanteras isu ini agar punca pendapatan nelayan pada masa hadapan tidak terjejas.

“Sebelum ini, laporan demi laporan telah dibuat oleh ahli persatuan kepada Jabatan Perikanan mengenai pencerobohan dan aktiviti menangkap siput perairan Perlis.

“Sehingga kini tiada tindakan diambil dan kami mendesak agar jabatan itu tegas dalam usaha membanteras aktiviti ini dan menyelamatkan punca pendapatan nelayan. Jika perlu, adakan operasi bersepadu bersama lain-lain agensi yang ada,” katanya.

Sementara, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, isu itu timbul selepas nelayan di sini melihat aktiviti penangkapan siput semakin berleluasa dan sumber rezeki mereka terancam.

Katanya, beliau menerima memorandum yang ditandatangani hampir 3,000 nelayan agar tindakan dan penguatkuasaan tegas diambil agensi berkaitan dan isu tersebut akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung awal Disember depan.

Terdahulu, kira-kira 30 orang nelayan dari beberapa kawasan di negeri ini membuat protes secara aman membantah aktiviti pencerobohan dan penangkapan siput secara haram di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Perlis di sini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN