MAMPUKAH calon Bebas mencatur keputusan pilihan raya?
Apabila Naib Presiden Bersatu negeri, Datuk Ali Biju bertanding Bebas di Krian dalam pilihan raya Sarawak kali ini, tercetus persoalan mengapa Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu sanggup melanggar prinsip Bersatu Pusat tidak berbuat demikian?
Bukankah Bersatu sendiri meluahkan hasratnya untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar?
Ali hanya menambah luka GPS setelah Pas melakukan onar serupa di Beting Maro menentang calon GPS.
Bukan Ali sahaja, rupanya tiga lagi ahli Bersatu bertanding Bebas. Mereka ialah calon DUN Belaga, Siki Balarik; Ricky Enteri (Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad di Muara Tuang.
Jika Ali dan tiga rakannya dikenakan tindakan disiplin oleh partinya, adakah Pas juga barangkali terima hukuman sama kerana merupakan komponen Perikatan Nasional (PN)?
Perihal calon-calon Bebas mempertaruhkan diri dalam politik Malaysia tidak ‘berapa jalan sangat’.
Mereka kebiasaannya ditolak mentah-mentah oleh pengundi kerana tidak ada platform parti, sekali gus dikatakan bertanding atas sebab peribadi – marah atau dendam.
Di Melaka 20 November lalu, calon Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang diakui popular ‘KPI’ nya oleh tuan punya badan sendiri, sekadar meraih 1,218 undi.
Tertinggal jauh daripada dua lawannya, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang masing-masing memperoleh 4,830 dan 4,708 undi.
Begitupun, ada calon Bebas ‘ditaja’ parti yang turut bertanding. Motifnya?
Di PRN Sabah tahun lalu, meskipun ada persefahaman Bersatu dan BN, namun secara tiba-tiba ramai calon Bebas muncul di kawasan BN bertanding terutama di kawasan ditandingi UMNO.
Daripada 56 calon Bebas, tiga menang. Dua darinya menewaskan calon BN. Akhirnya tiga calon itu menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri dengan jumlah 41 kerusi DUN.
Pada malam 26 September itu, GRS dianggotai Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) meraih 38 kerusi menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus yang meraih 32 kerusi.
Di Sarawak, 30 calon Bebas menawarkan diri kali ini.
Jika calon Bebas menang, mampukah empunya diri bawa pembangunan secara solo? – UTUSAN










