MN sudah berkubur? - Utusan Malaysia

MN sudah berkubur?

PIAGAM Muafakat Nasional yang didakwa enggan dipatuhi oleh UMNO yang membawa kepada berakhirnya kerjasama dengan Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan oleh UMNO dan Pas pada September 2019 semakin menuju ke peng­­hujung jalan apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara jelas menolak gagasan itu.

Dalam satu majlis di Selama, Perak, semalam, Abdul Hadi mendakwa keengganan UMNO mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk menjadi punca Pas terpaksa menarik diri.

Berdasarkan piagam MN, kata Abdul Hadi, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepemimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.

“Pas terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan UMNO) nak Pas dengan UMNO sahaja, jadi tak bolehlah, Pas tak boleh diarah, Pas parti tersendiri, Pas bukan di bawah BN (Barisan Nasional),” katanya.

Dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, Presiden Pas itu berkata, Pas sedia melawan pihak yang degil walaupun pihak berkenaan mempunyai kekuatan seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, Naib Pre­siden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mene­gaskan, UMNO mempunyai asas yang jelas untuk menolak Bersatu kerana penubuhan Bersatu dilihat seperti mahu menggantikan UMNO apabila parti itu dipenuhi oleh ahli Parlimen UMNO yang ‘melompat’.

“Begitu juga UMNO lihat Parti Amanah Negara (Ama­nah) kepada Pas. Itu sebab UMNO tidak mengajak Ama­nah menyokong MN kerana mahu menjaga sensitiviti Pas,’’ katanya ketika dihubungi Ming­guan Malaysia, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Raz­lan Muhammad Rafii ber­kata, Pas juga perlu menghormati keputusan UMNO.

Katanya, jika UMNO tidak boleh mengarah Pas, maka begitu juga sebaliknya.

“UMNO telah lama berpendirian untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah menyentuh keputusan Pas untuk bertan­ding atas tiket mana atau bersama siapa.

“Perlu diingat juga, perjanjian dalam mesyuarat MN juga, saya difahamkan Pas memang bersama dengan UMNO untuk tidak menyertai PN. Itu adalah keputusannya dulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN