Mukadimah
PARTI Bumi Kenyalang (PBK) menampilkan kumpulan calon kedua terbesar iaitu 73 orang mengatasi Parti Sarawak Bersatu (70).
Didaftarkan pada 2013, PRN12 Sarawak ini kali kedua PBK selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam kempen kali ini, PBK membawa agenda ‘mahu membawa keluar Sarawak dari Malaysia’.
Terkejut dengan motif kempen PBK, wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN lantas mendapatkan pengesahan presidennya yang juga calon Batu Lintang, VOON LEE SHAN di Kuching semalam.
UTUSAN: Sampai 73 kerusi PBK bertanding, mengapa?
VOON LEE SHAN: Agenda kami adalah untuk membebaskan Sarawak daripada Malaysia. PBK rasakan tidak berbaloi lagi untuk terus berada di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan kerana pengagihan sumber tidak adil. Kadar royalti minyak yang tidak patut dan pembangunan tidak sama rata. Ramai pekerja dari Semenanjung bekerja di Sarawak hingga memaksa kami mencari pekerjaan di luar seperti Singapura, Semenanjung dan Timur Tengah.
Bukankah ini berupa satu tindakan subversif?
PBK ada hak menyuarakan. Ini bukan subversif apabila kita tidak dilayan sewajarnya. Kita ada hak untuk bebas dan mendapat ‘kemerdekaan’. Kami masuk pilihan raya ini kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) tak mahu dengar hasrat kami ini.
Apa hujah anda ‘Sarawak boleh dibebaskan’?
PBK dapati ada kecacatan dalam laporan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 apabila majoriti lima panelnya terdiri daripada orang luar. Macam mana boleh laporan yang meliputi hanya lebih 4,000 orang mewakili suara seluruh rakyat Sarawak?
Mampukah Sarawak menjadi wilayah maju selepas ‘bebas’?
Kalau tidak mengapa begitu ramai yang mahu menjadi calon PBK? Maknanya, ramai yang menyokong perjuangan kita.
Andai kata PBK menang pilihan raya dan membentuk kerajaan Sarawak?
PBK akan bertemu dengan kerajaan Persekutuan dan berunding untuk mendapatkan pembebasan. Kalau ini tidak dapat diselesaikan juga, keluar sahajalah. – UTUSAN










