PETALING JAYA: Tenaga pendidik berharap kapasiti kelas dikurangkan bagi memastikan penyampaian ilmu berjalan lancar dan selesa.
Seorang guru di daerah Petaling memaklumkan kepada Utusan Malaysia, dirinya menghadapi kesukaran penyampaian ilmu di dalam kelas kerana jumlah pelajar yang perlu diberi fokus sangat tinggi dan khuatir berlaku keciciran.
Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, dalam satu kelas akan terdapat tiga kelompok atau aras penguasaan pelajar iaitu pandai, sederhana dan lemah, guru akan mempunyai perancangan berbeza untuk setiap kelompok bagi menyampaikan pelajaran.
“Jadi jumlah pelajar perlu dalam nombor yang ideal bagi memastikan keberkesanan jika tidak ia akan mengganggu penumpuan pengajaran guru.
“Kebiasaannya, saya akan melantik seorang pelajar daripada kelompok pandai untuk membantu rakan-rakannya dalam memahami silibus selepas penerangan yang saya berikan. Saya juga akan beri tumpuan lebih pada kelompok lemah bagi memastikan tiada keciciran,” jelasnya.
Seorang lagi guru di daerah Kuala Selangor turut berkongsikan pengalamannya mengajar di dalam dua jenis kelas iaitu satu yang melebihi kapasiti sehingga 40 pelajar dan kedua adalah kapasiti sederhana iaitu 20 pelajar.
“Saya pernah mengajar di sebuah kelas yang terdapat 40 pelajar dalam satu kabin, keadaan di situ pastinya panas. Sebagai guru saya sendiri tidak selesa, apatah lagi pelajar sudah tentu tidak boleh fokus.
“Berbeza pula dengan kelas yang mengandungi 20 pelajar dengan suasana selesa, pelajar mudah untuk fokus pada penyampaian saya. Sesi soal jawab juga mudah dibuat kerana tidak perlu fikir akan tempoh masa,” jelasnya.
Seorang lagi guru di Putrajaya berharap lebih ramai guru diserap masuk bagi mewujudkan kesimbangan dengan jumlah pelajar bagi memenuhi keperluan pelajar dan memastikan ilmu yang disampaikan berkesan.
“Jumlah tenaga pelajar perlu seimbang atau cukup dalam setiap bidang dan subjek pelajaran bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka. Jika tidak, ini akan menjejaskan keperluan mereka kerana guru yang mengajar lari luar bidang serta kepakaran.
“Saya harap kerajaan mengambil pengambilan guru yang cukup supaya dapat memastikan masa, tenaga tidak terbuang begitu sahaja dan keberkesanan pengajaran dapat dicapai,” katanya. -UTUSAN










