KUCHING: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak tidak akan meletakkan jawatan walaupun kalah teruk kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, meskipun hanya menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ia belum ke tahap beliau terpaksa melepaskan jawatan.
Sebaliknya, ADUN Padungan itu akan melakukan post mortem bagi mengkaji punca kekalahan pembangkang yang diakuinya berjangkit daripada pilihan raya negeri di Sabah 2020 dan di Melaka, 20 November lalu.
“Kami terima kekalahan dalam pilihan raya ini. Walau apa pun, kami akan teruskan perjuangan demi Sarawak dan negara,” katanya di sini semalam.
Kesemua sekutu PH kecuali DAP, kalah di semua kerusi yang ditandingi. PKR bertanding 28 kerusi dan Parti Amanah Negara, dua kerusi. DAP pula bertanding 26 kerusi berbanding 31 pada 2016.
Dalam pada itu, Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, partinya sudah berusaha sedaya upaya mendapatkan sokongan pengundi namun masih tidak mampu mengatasi kekuatan GPS.
“PKR perlu kaji di mana silapnya, cuma saya tidaklah sampai letak perlu jawatan. Malah, saya sudah berhubung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Beliau pesan supaya saya tabah, terima kekalahan ini seadanya dan teruskan perjuangan,” katanya.
Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Halil Abang Naili pula berkata, satu-satu keputusan pilihan raya tidak mengukur kerelevanan parti politik untuk bertapak di negeri ini.
“Saya tak nampak Amanah buat kesilapan. Cuma pihak lawan pandai putar belit isu seperti ‘utamakan Sarawak’ sedangkan kita dalam Malaysia.
“Kami tidak akan patah semangat, hanya mahu menjadi pengimbang dan kerajaan alternatif untuk rakyat,” katanya yang bertanding di DUN Samariang. – UTUSAN ONLINE









