Hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir beroperasi Jun 2022 - Utusan Malaysia

Hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir beroperasi Jun 2022

HOTEL lapan tingkat di Pulau Poh, Tasik Kenyir dijangka beroperasi Jun 2022. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tasik Kenyir bakal menawarkan satu lagi tarikan baharu kepada pengunjung apabila hotel lapan tingkat di Pulau Poh dijangka beroperasi menjelang Jun tahun depan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanudin Hilmi Mohamed berkata, penginapan 150 bilik itu djadualkan siap sepenuhnya akhir bulan ini dengan tahap kemajuan semasa sudah melebihi 90 peratus.

Katanya, proses seterusnya yang akan dilaksanakan bermula suku pertama tahun depan adalah mencari operator bagi menguruskan hotel tiga bintang berkenaan.

“Kita sudah mengenal pasti banyak pengusaha dengan keutamaan diberikan kepada nama-nama besar, namun, tidak bermakna usahawan tempatan dipinggirkan, malah, mereka boleh menghantar kertas cadangan jika berminat untuk menjadi operator hotel itu. 

“Harapan kita agar operator hotel terpilih kelak dapat mengendalikan sekali pengurusan taman tema air, Kenyir Waterpark sebagaimana model yang dilaksanakan pengusaha di  Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis minum petang bersama pengamal media Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Burhanudin Hilmi berkata, Kenyir Waterpark akan kembali beroperasi sebelum pertengahan 2022 selepas sekian lama ditutup. 

Katanya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih taman tema air itu di samping turut melihat potensi untuk membuka pusat beli-belah di sekitar kawasan jeti baharu.

“Selain percutian rumah bot, jambatan ikonik di Tasik Kenyir turut menarik kunjungan ramai dan kita percaya pembukaan hotel, taman tema air di samping pusat beli-belah kelak akan merancakkan lagi kedatangan pelancong ke sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya