KUCHING: Penyertaan hanya 45 orang calon berusia bawah 40 tahun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 mencetuskan persoalan sama ada golongan itu tidak berminat atau tidak diberi peluang.
Sepatutnya, semua parti meletakkan sekurang-kurang 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 349 calon untuk diisi oleh calon muda seperti yang dimahukan oleh pengundi.
Membangkitkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, penganalisis dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dick Lembang Dugun berkata, landskap politik negara harus diberi anjakan paradigma menyorot negara luar termasuk Kanada dan New Zealand yang lebih awal mengambil pendekatan itu.
“Kita harus beri peluang kepada lebih ramai golongan muda. Parti-parti politik perlukan perubahan dalam kepemimpinan. Yang lama tidak semestinya harus kekal di kedudukan sama.
“Pada masa sama, orang muda harus memiliki personaliti yang dimahukan,” katanya ditemui di sini semalam.
Daripada 349 calon daripada parti politik kerajaan dan pembangkang yang bertanding pada 18 Disember ini, seramai 141 calon berusia 60 tahun ke atas, 113 calon (50 hingga 59), 50 orang (40 hingga 49), 37 (30 hingga 39) dan lapan calon berusia dari 21 hingga 29 tahun.
Bagaimanapun, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, tidak timbul soal umur dalam konteks politik di Sarawak berikutan tiada sebarang konflik kepemimpinan.
Jelasnya, ia berbeza dengan Semenanjung yang berdepan masalah itu sehingga membuka jalan kepada golongan muda mendapatkan hak berpolitik.
“Memang dari segi dominasi, calon muda agak kurang, tetapi ini sudah menjadi sebahagian budaya politik tempatan. Golongan berumur 60 tahun ke atas tidak menjadi beban sebaliknya mereka tulang belakang kepada parti-parti politik yang matang dan berpengalaman,” katanya.
Turut senada ialah penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah, Dr. Lee Kuok Tiung yang menganggap umur bukan penentu kerana pemilihan calon berdasarkan kriteria tertentu ditetapkan parti.
“Kalau bercakap pasal semak dan imbang, masyarakatlah yang memainkan peranan besar dan bukannya wakil rakyat,” kata beliau. – UTUSAN










