JOHOR BAHRU: Bekas atlet orang kurang upaya (OKU) negara, Norisah Bahrom menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dalam bidang Kejuruteraan Perisian Komputer pada Majlis Konvokesyen ke-64 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Norisah, 46, memberitahu, pengorbanannya berbaloi walaupun terdapat kekangan untuk menamatkan pengajian lebih awal kerana perlu mewakili negara dalam sukan tenis berkerusi roda di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Katanya, sokongan motivasi oleh suami yang juga atlet paralimpik negara, Abu Samah Borhan, 36, menjadi sumber kekuatan buatnya menamatkan pengajian dalam tempoh tujuh tahun.
“Arwah ibu dan bapa, Bahrom Mad Yasin dan Zainon Ibrahim juga adalah sumber kekuatan saya. Mereka meninggal dunia tanpa sempat melihat saya menggenggam ijazah. Sepanjang tempoh pengajian dan aktif sukan, mereka tidak putus asa memberi galakan.
“Bagi saya, kejayaan merangkul segulung ijazah ini adalah cita-cita paling unggul buat diri saya. Ia menjadi pelengkap buat kejayaan diri setelah beberapa kali mengharumkan nama negara.
“Buat masa ini, saya belum merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada kekal dalam bidang sama atau menjurus kepada kerjaya berkaitan pengurusan sukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Antara pencapaian yang diperolehi Norisah ketika dalam tempoh pengajian adalah memenangi tempat keempat beregu dalam Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan pada 2014 selain memenangi johan beregu pada Malaysia Open 2016.
Norisah berkata, faktor kecacatan fizikal bukanlah penghalang bagi dirinya untuk menempah kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Berceritakan kisah silamnya, dia pernah berputus asa dan dunianya seakan kelam setelah disahkan menghidap kecacatan saraf tunjang (Spina Bifida) sehinggakan berulang kali meluahkan perasaan tidak mahu ke sekolah untuk menghabiskan pelajaran.
“Saya dahulu pernah berputus asa setelah mengalami kecacatan fizikal, malu hendak bersemuka dengan kawan-kawan hingga rasa nak berhenti sekolah. Namun, kekuatan saya pulih setelah menyertai Pusat Pemulihan Cheras dan mula melibatkan diri dalam sukan.
“Dari situlah saya kembali semangat meneruskan kehidupan seperti biasa. Jadi, saya memang menggalakkan pelajar OKU yang lain supaya tidak perlu malu hendak menyambung pengajian. Jika bukan sekarang, bila lagi mereka hendak meningkatkan tahap pengajian mereka,” katanya.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 8,956 graduan menerima anugerah masing-masing iaitu 748 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 1,915 (Ijazah Sarjana); 4,326 (Ijazah Sarjana Muda); 4 (Ijazah Anumerta); 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE). Dari jumlah itu, 812 orang adalah graduan antarabangsa dari 54 negara. -UTUSAN ONLINE