Banjir: Apa MPN buat? - Utusan Malaysia

Banjir: Apa MPN buat?

Majlis Pemulihan Negara (MPN) sepatutnya turut membantu 'memulihkan' negara yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang berpe­ranan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) didakwa tidak mengambil sebarang tindakan dalam kejadian banjir luar jangka minggu lalu.

Sehinggalah banjir surut dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir bermula, majlis yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk membantu penduduk yang terjejas.

Membangkitkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, MPN dilihat tidak berperanan dan berfungsi semasa dan selepas banjir menjadi faktor kemarahan rakyat semakin membuak-buak.

Walhal, katanya, badan tersebut menggalas tanggungjawab sangat besar dalam mengurus negara ke arah pemulihan impak krisis yang berlaku selain dianggotai beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang yang bukan ‘calang-calang’.

“MPN ditubuhkan untuk Covid-19 tetapi dalam menghadapi musibah seperti banjir, majlis ini juga mempunyai peranan sama. Tetapi, di mana mereka ketika rakyat sudah berdepan musibah? Tiada sebarang kenya­taan pun daripada MPN khususnya Muhyiddin.

“Sekarang yang terbeban adalah Perdana Menteri. Sepatutnya MPN tampil dan menjadi agensi penting selepas banjir, tetapi sampai ke sudah tidak muncul. Saya melihat, kepemim­pinan beliau akan terus dikritik oleh ramai pihak kerana gagal membantu rakyat.

“Terpulanglah kepada kerajaan sama ada terus memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin mengendalikan satu agensi yang besar atau atas tujuan politik semata-mata,” katanya ketika dihubungi semalam.

MPN ditubuhkan semasa pentadbiran Muhyiddin yang berfungsi sebagai memudah cara pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan sosial berlandaskan lima ciri utama iaitu melindungi nyawa dan kehidupan; dinamik dan penyesuaian berterusan; penjelasan dan penerangan; peranan segenap lapisan masyarakat serta pemantauan dan keberkesanan prestasi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua menteri yang berada di luar negara pulang segera ke tanah air manakala menteri yang merancang bercuti ke luar negara supata membatalkannya supaya dapat bersama-sama agensi kerajaan dan seluruh rakyat membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, MPN tidak sepatutnya bertindak terlalu lewat dan mengikut protokol ketika bencana ber­kenaan sudah mengorbankan puluhan nyawa selain pelbagai insfrastruktur dan aset musnah.

“Nampaknya kebolehan pengerusinya dalam mengurus hal-hal seperti ini masih menjadi persoalan. Daripada isu Covid-19 sehingga mengisytiharkan darurat dan sekarang pula banjir melanda, semuanya dipersoalkan.

“Sukar dibayangkan kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan bila kejadian seperti ini berlaku. Saya kesal kerana sebagai agensi utama, ia tidak teratur dalam menangani isu-isu melibatkan rakyat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN