KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Singapura memutuskan melanjutkan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, 33, atas kesalahan mengedar dadah di republik berkenaan.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, peguamnya, N. Surendran berkata, keputusan itu dibuat selepas tertuduh disahkan positif wabak Covid-19.
Bagaimanapun, kata N. Surendran, belum ada ketetapan tarikh daripada mahkamah sampai bila penangguhan itu akan dilaksanakan selain anak guamnya juga menjalani kuarantin dijangka selama 14 hari di Penjara Changi.
“Setakat ini belum ada tarikh akhir penangguhan hukuman tersebut sebab anak guam saya telah pun disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin.
“Tetapi, selepas itu baharulah mungkin ada tarikh namun terpulang kepada mahkamah akan proses undang-undang yang seterusnya. Mungkin akan ada pengurusan kes selepas itu. Selain itu, ada beberapa proses rayuan dan permohonan yang perlu dibicarakan Mahkamah Rayuan di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nagaenthran yang berasal dari Ipoh, Perak, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu ditemui dilekatkan di pahanya kirinya.
Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 dan hukuman mati itu kekal serta sepatutnya akan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura hari ini (10 November 2021).
Sejak dijatuhkan hukuman mati, kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura supaya tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.
Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah serta memiliki IQ serendah 69 dan dianggap OKU kerana menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian. – UTUSAN ONLINE










