Tak dapat ramal menang berapa - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Tak dapat ramal menang berapa – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL Azumu mengalungkan semula pingat emas Sukan Olimpik acara angkat berat kepada Hidilyn Diaz di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu enggan mengulas lanjut ketika diajukan soalan berhubung jumlah kerusi bakal dimenangi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya tak dapat bagi ramalan,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, kata bekas Menteri Besar Perak itu, prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri yang berjaya mewujudkan sebuah kerajaan stabil ketika negara berdepan pandemik Covid-19 adalah antara faktor utama rakyat di negeri ini mahu bersama kepemimpinan PN.

Beliau berkata, Muhyiddin telah menunjukkan prestasi membanggakan dalam membantu rakyat yang terkesan teruk sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, banyak perkara telah dilakukan Presiden Bersatu itu dan secara tidak langsung ia dapat menarik minat pengundi yang mahukan kepemimpinan beliau diterjemahkan pada 20 November ini.

“Saya tidak mahu menidakkan kehebatan parti-parti lain yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), namun saya lebih percaya rakyat Melaka lebih cenderung untuk bersama dengan PN.

“Sudah pasti rakyat di negeri ini mahukan kestabilan melalui PN di mana kita lihat dalam barisan Kabinet hari ini, majoriti menteri adalah daripada Bersatu dan Pas.

“Setakat ini, kita telah dapat wujudkan sebuah kesepaduan dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Ini sudah tentunya diinginkan oleh rakyat dan kenapa tidak ia diterjemahkan dalam PRN ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkunjung ke Kampung Kesang Tua di sini bertemu pemenang pingat emas Filipina acara angkat berat Sukan Olimpik Tokyo 2020, Hidilyn Diaz.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, melihat senario terkini, beliau tidak menolak sokongan pengundi terhadap calon-calon PN semakin melonjak sebelum hari mengundi pada Sabtu ini.

“Ketokohan Muhyiddin bakal menjadi pencetus mampu menarik sokongan padu pengundi-pengundi di negeri ini terhadap PN,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN