ISKANDAR PUTERI: Faktor pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di negeri ini yang telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang termasuk harga ayam.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, keadaan itu menyebabkan permintaan terhadap ayam meningkat sekali gus harganya melonjak naik.
Katanya, faktor lain kenaikan harga ayam adalah peningkatan kos penternakan ayam dengan harga dedak telah meningkat yang menyebabkan harga bekalan itu turut naik.
“Situasi ini menyebabkan permintaan meningkat sekali gus harga barangan seperti ayam juga turut meningkat. Ini kerana penternak tidak boleh menjangkakan pembukaan fasa-fasa ini.
“Justeru, apabila berlaku permintaan tinggi terhadap ayam buat masa ini, penternak perlukan masa bagi menyediakan ayam dan ini akan mengambil masa untuk bekalan stabil di pasaran,” katanya bagi menjawab soalan lisan Md. Ysahruddin Kusni (PH-Bukit Naning), Dr. Faizul Amri Adnan (PH-Serom) dan Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain (BN-Penawar).
Fat full yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis itu berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Ketika ini, harga ayam di Johor antara RM9.80 sekilogram, naik 30 sen berbanding sebelum ini.
Fat Full berkata, beberapa langkah dan tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi menangani isu kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk harga ayam.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memastikan pegawai-pegawai penguat kuasa turun ke lapangan serta melakukan pemeriksaan di seluruh negeri.
“Kita juga telah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk semua perayaan bagi mengawal kenaikan harga barangan utama yang mendapat permintaan yang tinggi semasa musim perayaan.
“KPDNHEP juga menyediakan aplikasi ‘Price Catcher’ untuk pengguna membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan. Aplikasi itu memaparkan maklumat harga lebih 432 barangan yang dijual di premis berhampiran bagi tujuan pembelian terancang,” ujarnya.
Antara lain, katanya, pihaknya juga memasukkan barangan asas sebagai barang kawalan seperti gula, minyak masak paket, tepung dan topeng muka serta barangan keperluan asas terutamanya di sektor peruncitan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Mana-mana peniaga yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu mengaut keuntungan tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan hukuman di bawah akta sama,” jelasnya.