Sidang DUN Johor lebih penting daripada berkempen di PRN Melaka - Utusan Malaysia

Sidang DUN Johor lebih penting daripada berkempen di PRN Melaka

SUHAIZAN KAYAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bakal mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 18 November ini untuk membentangkan Belanjawan Johor 2022 ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berlangsung.

Sehubungan itu, Yang Dipertua DUN Johor, Suhaizan Kaiat mengingatkan kepada kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memberi tumpuan kepada persidangan berkenaan dan bukan sebaliknya kepada PRN Melaka.

Menurut beliau, dalam konteks negeri ini, sidang DUN yang akan membincangkan perancangan untuk kesejahteraan masyarakat adalah lebih utama.

“Kita telah menghantar notis makluman kepada semua ADUN negeri ini bahawa Sidang DUN Johor akan bermula pada 18 hingga 25 November ini.

“Oleh itu, penting untuk kesemua ADUN negeri ini tahu bahawa Sidang DUN Johor adalah lebih penting berbanding turun berkempen untuk parti mereka dalam PRN Melaka.

“Tidak wajar sekiranya ada ADUN negeri ini yang tidak menghadiri Sidang DUN Johor kerana undi mereka diperlukan untuk memastikan Belanjawan Johor 2022 lulus,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Suhaizan yang juga merupakan Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengingatkan agar individu yang berkempen dalam PRN itu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung pandemik Covid-19 yang ditetapkan.

“Berhubung pelaksanaan Sidang DUN Johor kali ini, kita akan mengekalkan SOP sedia ada iaitu dengan kesemua ADUN, Ketua Jabatan dan juga petugas media melakukan ujian saringan Covid-19 setiap hari,” jelasnya.

Pada sesi Sidang DUN Johor lalu, empat ADUN Johor dihalang daripada menyertainya kerana disahkan positif Covid-19 ketika pemeriksaan saringan dilakukan petugas kesihatan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian akan menghadiri persidangan berkenaan, Suhaizan memaklumkan, pihaknya belum mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri memaklumkan bekas Menteri Besar Johor itu berada dalam keadaan stabil, namun, belum pulih sepenuhnya.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga beliau bahawa beliau masih belum pulih sepenuhnya dan belum dapat menggerakkan anggota badannya.

“Beliau masih perlu mengambil masa untuk mendapatkan rawatan dan kini sedang dirawat di Hospital Serdang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Pada 13 Oktober lalu, Osman, 70, dilaporkan menghadapi serangan angin ahmar di kediaman beliau sehingga perlu dikejarkan ke hospital. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya