Persimpangan bertingkat Kempas siap 14 September 2022 - Utusan Malaysia

Persimpangan bertingkat Kempas siap 14 September 2022

MOHD. Solihan Badri (kiri) menunjukkan reka bentuk persimpangan bertingkat Kempas yang kini lewat daripada jadual asal bersama Kamisan Turiman pada sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Projek naik taraf persimpangan bertingkat Kempas bernilai RM39.7 juta di sini yang mengalami kelewatan sebelum ini dijangka siap menjelang 14 September tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan akibat kerja pengalihan paip saluran air dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, mengikut jadual asal, projek berkenaan dijadualkan siap pada 31 Disember tahun ini.

“Setakat 20 Oktober lalu, projek ini berada pada tahap 57 peratus siap, dua peratus lebih banyak daripada unjuran dalam jadual iaitu 55 peratus.

“Apabila siap kelak, ia akan memendekkan masa daripada Kempas ke pusat bandar raya Johor Bahru daripada 56 minit kepada 40 minit,” katanya dalam sidang akhbar berhubung status kemajuan projek naik taraf Persimpangan Bertingkat Kempas, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Kamisan Turiman.

Tambah Mohd. Solihan, projek itu akan menyaksikan persimpangan berkenaan tidak lagi menggunakan lampu isyarat sebaliknya menggunakan laluan rekaan berbentuk bunga cengkih.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan ekoran ia masih merupakan tapak projek dan bukan laluan sempurna.

“Baru-baru ini tular satu rakaman video menunjukkan seorang penunggang motosikal terlanggar plastik penghadang jalan di kawasan berkenaan dan hampir dirempuh sebuah lori.

“Sehubungan itu, pemandu kereta dan penunggang motosikal perlu lebih berhati-hati ketika melakukan laluan berkenaan atau mana-mana jalan yang sedang dalam pembinaan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi peringatan kepada kontraktor selenggaraan jalan untuk memastikan setiap kon penghadang jalan yang digunakan perlu diletakkan pemberat.

Pada 5 Oktober lalu, tular sebuah video di media sosial berdurasi 34 saat yang dirakam sebuah kereta lain memaparkan penunggang tersebut berhenti selepas melanggar kon yang jatuh di tepi jalan dalam penyelenggaraan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya