Pelancong elak masuk Melaka, peniaga terkesan - Utusan Malaysia

Pelancong elak masuk Melaka, peniaga terkesan

NORSHAFINA Mohamad membakar tongmo di gerainya di pantai Sungai Tuang di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sekitar Masjid Tanah dekat sini, kelihatan suram dan lengang pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Pantai Pengkalan Balak dan Pantai Sungai Tuang mendapati, kawasan tersebut tidak semeriah seperti kebiasaan.

Hanya deretan kenderaan pengundi dan jentera parti politik yang bertanding memenuhi bahu jalan.

Seorang peniaga, Norshafina Mohamad, 33, berkata, perniagaannya perlahan semalam kerana kemerosotan kehadiran pengunjung terutama pelancong luar.

Katanya, jualan barang niaganya masih tidak sampai separuh meskipun membuka gerai seawal pukul 8 pagi.

“Saya biasanya menyediakan 300 cucuk tongmo bakar sehari dan habis dijual menjelang pukul 3 petang. Namun, hari ini mengecewakan kerana kelibat pelancong boleh dikira dengan jari,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang peniaga, Arbaayah Abd. Aziz, 35, berkata, sebanyak 80 peratus pelanggannya adalah pelancong dari luar Melaka.

Menurutnya, hasil jualannya mampu mencecah sehingga RM600 setakat tengah hari pada minggu-minggu biasa.

“Jualan hari ini memang perlahan. Saya fikir apabila hari pengundian, keadaan jadi meriah tetapi sebaliknya apabila pelancong memilih untuk tidak datang ke Melaka.

“Kuih-muih masih banyak yang belum habis, air balang pun tidak laku. Saya harap kemeriahan di pantai ini akan kembali seperti biasa esok,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN