SHAH ALAM: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menghalang Pas Selangor untuk terus mempertahankan gabungan dan mengukuhkan hubungan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
Menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, UMNO Selangor sebelum ini mempunyai hasrat yang senada dengannya untuk terus memperkukuhkan gabungan dua parti Melayu tersebut walaupun situasi berbeza di peringkat pimpinan pusat.
“Pas dan UMNO mempunyai kekuatan masing-masing di Selangor, kalau berpecah saya ingat ini akan merugikan orang Melayu.
“Kita tidak menafikan hak orang Cina dan India, tetapi dari sudut politiknya, orang Melayu Islam sendiri akan rugi kalau pertembungan antara Pas dan UMNO iaitu menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas masa depan hubungan Pas dan UMNO di Selangor berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, Pas dalam PRN Melaka tewas dalam kesemua lapan kerusi yang ditandinginya bersama Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang itu berkata, hubungan Pas dan UMNO di Selangor adalah baik, namun dalam soal kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bergantung kepada hala tuju Pas Pusat.
“Keputusan dengan siapa Pas bergabung pada PRU-15, ia adalah keputusan Pas Pusat dan Pas di Selangor berpandangan perlu ada kebersamaan antara Pas dan UMNO,” katanya.
Pada 6 Oktober lalu, Pas dan UMNO Selangor membuat ketetapan untuk terus mempertahan dan mengukuhkan MN sebagai persediaan untuk mengambil alih kerajaan negeri pada PRU15.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ahmad Yunus menerusi kenyataan bersama berkata, perkara itu dicapai ketika mesyuarat MN yang diadakan apabila kedua-duanya bersetuju untuk terus memperkasa dan mengukuhkan lagi hubungan antara UMNO dan Pas di semua peringkat di negeri. -UTUSAN










