PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pendekatan Malaysia menjayakan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara tempatan harus dijadikan rujukan dalam dunia menuju ke arah ekosistem yang lebih hijau.
Perdana Menteri berkata, beliau kekal komited menjadikan Malaysia untuk lebih awal mencapai status negara sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang sasaran ditetapkan pada 2050.
Katanya, polisi pembangunan hijau dan mampan wajar dijadikan agenda penting yang berterusan dalam usaha memperkasakan ekonomi masyarakat dan negara.
Perkara itu antara intipati beliau ketika berucap mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-13 secara maya di sini semalam.
Dengan membawa tema Pertumbuhan dan Pembangunan Inklusif dan Mampan, beliau pada sesi plenari pertama itu merujuk komitmen negara ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
“September lalu, saya melancarkan pelan lima tahun ini selari keutamaan kemajuan negara kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa Bersatu,” katanya.
Ini merupakan penampilan julung kali beliau pada persidangan dwitahunan yang dimulakan di Bangkok, Thailand pada 1996 lalu serta kini disertai 21 negara Asia dan 30 negara Eropah.
Kemboja menjadi tuan rumah persidangan kali ini secara maya yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu namun dianjak kepada tahun ini susulan isu kebimbangan wabak Covid-19.
Menyentuh agenda kesalinghubungan, beliau menyeru semua negara mengambil langkah konkrit bagi memenuhi objektif dan prinsip ke arah menjayakan pelan transformasi digital.
Beliau mengambil contoh kesan pandemik Covid-19 yang tanpa disedari telah menawarkan peluang luas untuk masyarakat memanfaatkan sumber jalur lebar kepada pelbagai dimensi.
“Justeru, marilah kita mempromosikan dan memudahcara akses rakyat-kepada-rakyat yang mampu memacu sektor sosio-ekonomi termasuk bisnes, pendidikan dan kesihatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










